Khamis, 28 Julai 2016 | 12:00pm

MUIP bina surau untuk Orang Asli


YANG Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membina sebuah surau di perkampungan Orang Asli Kampung Menchupu di sini, untuk kegunaan masyarakat setempat yang beragama Islam.

Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata kemudahan yang dinamakan Surau Al-Hidayah Kampung Menchupu itu bernilai RM270,000.

"Surau ini siap dibina dan sudah digunakan oleh kira-kira 300 penduduk," katanya berucap pada majlis perasmian Surau Al-Hidayah Kampung Menchupu di sini, hari ini.

Yang turun hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan Setiausaha MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Wan Abdul Wahid berkata, kemudahan selesa untuk beribadat sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya sedia menyalurkan bantuan bergantung kepada kelayakan permohonan.

Sementara itu, Khairuddin menyatakan kesyukuran atas terlaksananya pembinaan surau itu yang pernah tertangguh kerana masalah kewangan.

"Alhamdulillah, kini ia menjadi kenyataan dan memudahkan masyarakat Islam," katanya.

Berita Harian X