Khamis, 28 Julai 2016 | 12:33am

Laut China Selatan: AS mahu elak konfrontasi

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Setiausaha Luar Negara Filipina, Perfecto Yasay. - Foto Reuters

MANILA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, memaklumkan Washington mahu mengelak konfrontasi di Laut China Selatan, susulan keputusan tribunal antarabangsa menolak tuntutan Beijing terhadap sebahagian besar kawasan perairan itu.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas bertemu Setiausaha Luar Negara Filipina, Perfecto Yasay di Manila ketika mereka membincangkan kemenangan besar negara Asia Tenggara itu dalam kes timbang tara melawan China.

Diplomat tertinggi AS itu berkata, Washington mahu China dan Filipina berunding bagi kebaikan kedua-dua negara.

"Keputusan itu adalah terpakai tetapi kami tidak mahu mencetuskan konfrontasi. Kami cuba untuk menghasilkan penyelesaian dengan mengambil kira hak rakyat di bawah undang-undang," katanya.

Bulan ini, sebuah tribunal di The Hague memutuskan tuntutan China di kebanyakan wilayah laluan air strategik itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan Beijing yang berjanji tidak akan menghiraukan keputusan terbabit.

Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan turut mempunyai tuntutan di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perdagangan bernilai AS$5 trilion (RM20.41 trilion) setiap tahun selain dipercayai kaya dengan sumber asli. - AFP

Berita Harian X