Rabu, 27 Julai 2016 | 11:20am

MUIP agih zakat kepada 51,161 asnaf


Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain. - Foto ihsan http://www.muip.gov.my/

KUANTAN: Sejumlah RM13.75 juta wang zakat diagihkan kepada 51,161 golongan asnaf seluruh negeri oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sepanjang Ramadan lalu.

Setiausahanya, Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata wang zakat itu termasuk yang disalurkan kepada 615 masjid dan surau.

"Kita selesai mengagihkan zakat berjumlah RM1.04 juta kepada 3,896 asnaf iaitu golongan fakir, miskin dan anak yatim.

"Selain itu, kita turut menyampaikan sumbangan kepada 18,817 penerima bantuan tahunan Aidilfitri membabitkan peruntukan RM3.64 juta, 7,070 penerima bantuan pendidikan pelajar miskin (RM1.65 juta) dan bantuan kepada 2,050 anak yatim berjumlah RM218,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Hariri berkata, MUIP turut mengagihkan bantuan tahunan Aidilfitri kepada asnaf mualaf kepada 15,078 penerima dengan peruntukan berjumlah RM2.88 juta.

Katanya, MUIP turut melakukan Program Ziarah Prihatin di tiga hospital di negeri itu sepanjang Ramadan dan menyampaikan sumbangan kepada 699 pesakit.

Berita Harian X