Ahad, 24 Julai 2016 | 9:36am

Lelaki maut, rakan parah kereta terhumban parit

Anggota Bomba menjalankan tugas menyelamatkan mangsa kemalangan di Kilometer 286.3 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) arah utara di sini, awal pagi tadi.

SEREMBAN: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah, dalam kemalangan di Kilometer 286.3 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) arah utara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu, Kam De Vid, 21, dipercayai gagal mengawal kenderaan yang turut dinaiki rakannya, Choo Jin Xiang, 21, lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke parit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.02 pagi sebelum bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama enam anggota.

Sebaik tiba di tempat kejadian, katanya, keadaan kereta didapati remuk teruk manakala kedua-dua mangsa masih tersepit di dalam kereta.

"Bomba mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan mangsa manakala pemeriksaan mendapati pemandu sudah meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Md Munawir berkata, penumpang yang cedera parah di badan, dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X