Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:51am

8 kapal persiaran ke Laut China Selatan - Beijing

BEIJING: China mengumumkan rancangan menghantar lapan kapal persiaran dipenuhi pelancong yang mahu bercuti di Laut China Selatan di tengah ketegangan yang semakin memuncak di wilayah itu.

Walaupun Mahkamah Timbang Tara Kekal di The Hague sudah memutuskan Beijing tidak mempunyai hak perundangan asas untuk menuntut Laut China Selatan, China tidak mengiktiraf keputusan itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat pula bercadang meneruskan rondaan ketenteraan di perairan itu.

Akhbar China Daily melaporkan, pelayaran itu dikendalikan oleh syarikat China Communications Construction Co Ltd, China National Travel Service (HK) Group Corp, dan Sanya International Cruise Development Co Ltd.

Sanya International sudah pun mengendalikan satu kapal persiaran di rantau itu, yang digelar 'Impian Laut China Selatan.'

Selain membeli lima hingga lapan kapal lagi, rancangan itu juga menggesa pembinaan pelabuhan baru di bandar raya Sanya.

Punca ketegangan adalah tindakan Beijing membangunkan pulau tiruan di gugusan kepulauan Spratly dan Paracel.

Walaupun Amerika dan sekutu Baratnya menuduh China cuba mendirikan zon pertahanan udara, Beijing menegaskan haknya untuk membina kemudahan itu dalam wilayahnya, dan akan digunakan untuk tujuan umum. - AGENSI

Berita Harian X