Jumaat, 14 November 2014 | 12:00pm
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto AFP

Ekonomi negara berkembang 5.6 peratus pada suku ketiga - Zeti

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku ketiga tahun ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pada suku dikaji penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.7 peratus, pelaburan swasta berkembang 6.8 peratus manakala inflasi berada pada paras 3.0 peratus.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku kedua disemak menaik kepada 6.5 peratus daripada 6.4 peratus sebelum ini.

Zeti berkata pertumbuhan positif dicatat dalam kesemua sektor ekonomi dengan sektor pembinaan berkembang 9.6 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (6.1 peratus), perkilangan (5.3 peratus), pertanian (4.0 peratus) dan perlombongan (1.4 peratus).

"Aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, dengan penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.7 peratus manakala penggunaan awam tumbuh positif sebanyak 5.3 peratus," katanya pada taklimat media mengenai prestasi KDNK suku ketiga Malaysia, di sini hari ini.

Kadar inflasi, seperti diukur dalam Indeks Harga Pengguna, turun kepada purata 3.0 peratus pada suku ketiga, sebahagian besarnya disumbangkan oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pengangkutan.

Lebihan dagangan berkurangan kepada RM16.8 bilion bagi suku yang dikaji berbanding RM18.5 bilion pada suku kedua dengan eksport kasar berkembang pada kadar perlahan pada 1.5 peratus.

Mengenai ringgit, Zeti berkata ia dalam arah aliran meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau pada awal suku disebabkan permintaan yang tinggi untuk bon Malaysia.

Zeti berkata bagi keseluruhan 2014, bank pusat itu mengunjurkan KDNK tumbuh antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus.

"Kami yakin kejayaan mencatat pertumbuhan pada julat ini adalah pertumbuhan yang sangat kukuh berdasarkan persekitaran yang penuh cabaran.

"Tahun depan, kami mengunjurkan KDNK tumbuh antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus. Jika eksport menyederhana, KDNK akan menghampiri 5.0 peratus, namun jika meningkat, KDNK akan naik dan menghampiri 6.0 peratus," katanya.

Berita Harian X