Isnin, 18 Julai 2016 | 12:06am
PELAKON muda berbakat besar, Syafie Naswip. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SYAFIE yang berusia 24 tahun bersyukur kerana kini memiliki kedudukan kewangan stabil malah mula berkira-kira mengumpul aset ketika umurnya masih muda.

Syafie Naswip tekad kumpul harta untuk masa depan

KUALA LUMPUR: Pelakon muda berbakat besar, Syafie Naswip mengaku mampu hidup selesa selepas bertatih membina karier melalui filem arahan Allayarham Yasmin Ahmad berjudul Mukhsin ketika dirinya berusia 15 tahun.

Menginjak usia 24 tahun, Syafie bersyukur memiliki kedudukan kewangan stabil malah mula berkira-kira mengumpul aset ketika umurnya masih muda.

Syafie atau nama sebenarnya, Mohammad Syafie Naswip bijak membezakan antara kehendak dan keperluan sebelum membeli sesuatu barangan.

"Diakui saya pernah boros pada awal pembabitan saya dalam bidang lakonan. Maklumlah, budak sekolah seronok pegang duit.

"Tetapi lama kelamaan, sikap itu hanya sementara. Alhamdulillah, hasil kerja lakonan sejak zaman sekolah hingga sekarang, hidup saya dan keluarga lebih stabil," katanya kepada BH Plus.

Tambah Syafie, dia bersyukur mampu memiliki kereta hasil penat lelahnya selain merancang membeli rumah dalam tempoh terdekat.

Baginya, aset seperti rumah adalah suatu pelaburan jangka panjang.

"Saya mahu beli rumah untuk saya dan keluarga diami. Walaupun ia bukan untuk pelaburan hartanah seperti dilakukan kebanyakan orang, saya lihat ia boleh menjadi suatu bentuk pelaburan pada masa depan jika saya mahu berpindah ke rumah baharu.

"Namun, ia masih dalam peringkat perancangan. Saya masih muda... Saya akan buat secara perlahan-lahan," katanya.


SYAFIE akui pernah boros pada awal pembabitan saya dalam bidang lakonan. - Foto Zunnur Al Shafiq


SYAFIE kini sibuk dengan filem terbaharu berjudul Kampung Drift arahan Nevin Heong yang akan ditayangkan pada 4 Ogos depan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Terima positif watak remaja

Mengenai perkembangan kariernya, Syafie sibuk dengan filem terbaharu berjudul Kampung Drift arahan Nevin Heong yang akan ditayangkan pada 4 Ogos depan.

Syafie berkata, apa yang menarik mengenai filem berkenaan, dia membawa watak Johan iaitu seorang remaja yang bercita-cita menjadi pelumba kereta.

"Selalunya saya bawa watak beremosi. Tetapi sedikit kelainan dalam filem ini apabila saya diberi peluang membawakan watak lasak. Ini salah satu impian saya.

"Tambah pula dengan kehadiran pelakon lain seperti Pekin Ibrahim, Esma Daniel dan Pablo Amirul. Penggambaran filem ini menjadi seronok dan saya peroleh ilmu daripada pelakon senior lain," katanya.

Ditanya mengenai kecenderungan penerbit menawarkan watak remaja biarpun usianya semakin meningkat, Syafie menerimanya secara positif.

"Biasalah, awal-awal tertekan juga, asyik-asyik watak budak. Tetapi apabila difikirkan balik, ada kebaikannya.

"Saya melihat jangka masa kerjaya lakonan menjadi lebih panjang. Sebagai contoh, jika rakan artis seusia saya sudah mendapat watak bapa, saya pula melakonkan watak remaja sekarang. Bukankah jangka hayat saya dalam dunia lakonan lebih lama?

"Lagipun, tidak semestinya membawa watak remaja muda tiada cabarannya. Kadang-kadang lebih sukar daripada watak dewasa yang hanya duduk di pejabat dan berdialog seperti biasa," katanya.

Syafie baru selesai menjalani penggambaran drama Sape Di Itali dan Vape 69 untuk siaran RTM selain sibuk dengan penggambaran drama Cerita Zaman Azim.

Berita Harian X