Isnin, 11 Julai 2016 | 8:01am

20 maut bantahan di Kashmir 

PENDUDUK Kashmir meratapi kematian anggota kumpulan Hizbul Mujahideen Kashmir yang dibunuh polis India di Srinagar. - Foto EPA

SRINAGAR: Jumlah kematian akibat pertembungan di antara tentera kerajaan dan penunjuk perasaan di Kashmir meningkat kepada 20 orang, semalam selepas penduduk tidak mengendahkan perintah berkurung berikutan pembunuhan seorang pemimpin militan yang popular.

Menurut seorang pegawai polis yang enggan namanya disiarkan, sejumlah 15 mangsa adalah penduduk awam. Mereka maut dalam pertembungan selama dua hari yang menyaksikan penunjuk perasaan melepaskan kemarahan dengan membaling batu ke arah tentera India.

Seorang anggota polis terbunuh, semalam selepas penunjuk perasaan menolak kenderaan berperisai yang dipandunya ke dalam sungai ketika pertempuran di kawasan Anantnag, selatan wilayah itu.

Protes anti-India dilaporkan berlaku di banyak lokasi seluruh Kashmir dan difahamkan sejumlah besar penduduk awam cedera.

Insiden berlaku selepas  pemimpin pemberontak kumpulan Hizbul Mujahideen Kashmir, Burhan Wani terbunuh ketika bertempur dengan tentera India.

Dua rakan perjuangan beliau turut terkorban.

Polis berkata, tentera India menggunakan peluru hidup, pistol getah dan gas pemedih mata untuk mengawal orang ramai yang marah. Lebih 100 penduduk awam dilaporkan cedera, setakat ini. - AP

Berita Harian X