Jumaat, 8 Julai 2016 | 12:55am

Nur jadi petunjuk lenyapkan keraguan mukmin

KAUM Israel tidak bersyukur atas nikmat dikurniakan kepada mereka dan dan ingin menguasai wilayah milik rakyat Palestin.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Sesungguhnya orang mukmin tidak mempunyai sebarang pelindung dan penguasa selain Allah SWT yang pemberi petunjuk melalui pelbagai cara dan saluran. Apabila seorang mukmin berada dalam keraguan, cahaya kebenaran dipancarkan kepadanya untuk mengusir kesesatan sehingga dia tetap selamat.

Orang kafir tidak mempunyai tempat berpaut kecuali kepada benda sembahan yang batil yang menjerumuskan mereka ke jalan kesesatan.

Perkataan wali atau pelindung dalam ayat sama dengan perkataan mawla yang memberi maksud orang yang ada hubungan dengan seseorang atas sifatnya sebagai pembantu, penolong, pelindung serta pembela. Dengan pengertian ini, yang dimaksudkan ialah Allah SWT sebagai wali orang mukmin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)." (Surah al-A'raf, ayat 201)

As-Syahid Sayyid Qutb berkata, iman adalah nur yang menyinari keperibadian mukmin dan itulah nur yang mula-mula tercetus dalam hati nuraninya. Itulah nur yang menyinari rohnya, menjadikannya halus, jernih dan memancarkan hakikat segala sesuatu, nilai, kefahaman serta kepercayaan.

Nur menunjuk jalan

Ia membuat semuanya dapat dilihat oleh hati untuk meninggalkan apa yang harus ditinggalkan olehnya dengan tenang dan tenteram. Itulah nur yang menunjukkan jalan kepada undang-undang alam supaya orang beriman dapat menyelaraskan antara harakatnya dengan harakat undang-undang buana di sekelilingnya.

Kesesatan dan kekafiran mengandungi pelbagai jenis kegelapan iaitu kegelapan hawa nafsu, penyelewengan, kesesatan, keangkuhan, keterlaluan, kelemahan, kehinaan, kegelapan riak, talam dua muka serta kegelapan tidak terhitung apabila wujud kesesatan daripada jalan Allah SWT.

Sebaik sahaja seseorang itu meninggalkan nur Allah Yang Tunggal, maka dia akan terus terjerumus ke dalam pelbagai jenis kegelapan. Orang yang tersesat tidak mempunyai cahaya kebenaran di hatinya sememangnya tidak layak memperoleh tempat lain kecuali neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu berhala.

Menerusi ayat ini ada beberapa perkara yang menarik perhatian antaranya iman dan kufur dibandingkan dengan nur dan gelap gelita. Bandingan iman ini sangat tepat dan mendalam kerana nur adalah sumber hidup kemajuan, keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan, sedangkan gelap gelita pula membayangkan erti kematian, kesesatan, kerugian serta ketakutan.

Kegelapan atau zulumat dalam ayat ini juga beberapa ayat lain disebut dengan lafaz jamak dan nur disebut dengan perkataan mufrad. Penggunaan ini mengisyaratkan bahawa jalan kesesatan itu banyak liku dan cabangnya, sedangkan jalan yang besar itu hanya satu sahaja iaitu jalan Allah SWT yang lurus

Boleh difahamkan juga, orang kafir tidak ada nur lagi pada mereka kerana mereka telah keluar daripadanya. Justeru, nur diungkapkan dengan mufrad, sedangkan zulumat diungkapkan dengan jamak kerana mereka kini terperangkap dalam pukat yang berlapis dan sukar untuk keluar daripada belitannya.

Allah SWT tidak memaksa seorang yang sesat dalam kegelapan itu supaya keluar dan masuk ke dalam nur dan tidak juga memaksa sebaliknya. Jika manusia keluar daripada gelap gelita kepada nur atau daripada nur kepada gelap gelita maka itu adalah hasil usahanya sendiri, tiada sesiapa mampu menyekatnya.

Tanpa iman umpama kubur gelap

Manusia tanpa iman yang lurus, hidupnya bagaikan orang yang tinggal di dalam kubur gelap gelita. Orang yang hidup tanpa iman sebenarnya telah mati akal dan hatinya. Dia tidak mampu berfikir dengan waras, tidak mampu menemui jalan hidayah dan tauhid yang menyuluh liku-liku hidupnya.

Keadaannya bagai orang buta yang berpegang kepada apa sahaja yang dapat disentuh dan diraba olehnya. Walau bagaimanapun, orang buta ada kala matanya buta tetapi hati terang disinari nur, dia mampu membezakan antara baik dengan buruk.

Dalam hal ini, kita tidak perlu membahas hakikat neraka secara terperinci, cukuplah kita dengan mempercayai keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa neraka tempat penderitaan dan seksaan yang menjadi tempat pembalasan bagi golongan derhaka lantaran dosa mereka.

Mereka wajar ditempatkan dalam neraka kerana kedegilan mereka terhadap Allah SWT sekalipun segala-galanya jelas menunjukkan bahawa jalan Allah SWT yang mampu menyuluh ke syurga. Akan tetapi mereka menolak jalan itu, lalu mengambil jalan syirik yang gelap dan membawa ke neraka.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X