Khamis, 7 Julai 2016 | 2:09pm

Tiga angkasawan berlepas ke ISS dalam Soyuz baharu

KAPAL angkasa Soyuz. - Foto Reuters
KAPAL angkasa Soyuz. - Foto Reuters

BAIKONUR, Kazakhstan: Kapal angkasa Soyuz yang ditambah baik dilancarkan hari ini bersama tiga angkasawan dari Baikonur Cosmodrome Russia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Angkasawan kali pertama, Kathleen Rubins dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Takuya Onishi daripada Agensi Angkasa Jepun berangkat untuk misi empat bulan di ISS bersama angkasawan Russia, Anatoly Ivanishin pada jam 0136 GMT.

Pelancaran tiga angkasawan itu ditangguhkan lebih dua minggu bagi membolehkan pegawai angkasa Russia menjalankan ujian perisian lanjutan ke atas kenderaan yang diubah suai itu.

Rubins akan menjadi wanita pertama di atas kapal ISS sejak Samantha Cristoforetti dari Itali kembali ke bumi dengan rekod penerbangan angkasa paling lama oleh seorang wanita (199 hari) pada Jun tahun lalu.

Takuya Onishi, yang dilatih sebagai seorang juruterbang pesawat komersial, adalah warga Jepun ke-11 memasuki ruang angkasa.

Makmal angkasa ISS mengorbit bumi pada kelajuan kira-kira 28,000 kilometer sejam sejak 1998. - Agensi

Berita Harian X