Rabu, 6 Julai 2016 | 5:00pm

Amerika kecam Israel bina 560 rumah baharu


BAN Ki-moon. - Foto EPA

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengecam keputusan Israel untuk membina 560 rumah baharu di kawasan penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Washington memberi amaran bahawa rancangan itu bererti satu langkah terkini untuk merampas tanah secara sistematik dan menjejaskan usaha mencari damai.

"Kami membantah langkah seperti ini yang membantutkan usaha ke arah perdamaian," kata jurucakap Jabatan Negara, John Kirby, kelmarin.

Katanya, kerajaan 'amat kecewa' dengan pengumuman Israel itu yang hadir beberapa hari selepas laporan utama oleh Kuartet Diplomatik Asia Barat (Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia dan PBB) yang menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon Ban berkata, penempatan itu adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau menggesa kerajaan Israel untuk menghentikan dan menukar keputusan berkenaan demi kepentingan keamanan dan perjanjian status akhir yang adil.

Menurut pegawai Israel, Perdana menteri, Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan pembinaan rumah baharu di Maale Adumim, dekat Baitulmaqdis, semalam.

Palestin menuntut negara yang merdeka di Tebing Barat, Gaza dan Timur Baitulmaqdis - kawasan yang ditawan Israel dalam perang 1967.

Usaha rundingan damai antara kedua-dua pihak pada 2014 mencapai jalan buntu yang mencetus keganasan di wilayah berkenaan sehingga hari ini. - Agensi

Berita Harian X