Rabu, 6 Julai 2016 | 12:01am

Bahasa Jepun, Korea lebih terbela

PEMBUDAYAAN ilmu melalui bahasa ibunda di Jepun dan Korea perlu dijadikan teladan di negara ini khususnya penutur bahasa Melayu yang memandang rendah kepada kemampuannya.

Tidak hairanlah bahasa Jepun dan Korea menerima 'pembelaan' jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bahasa Melayu yang sehingga kini terus dipersoalkan kewibawaannya.

Perkembangan itu menyebabkan peristilahan bahasa Melayu yang mengungkapkan konsep khusus dalam bidang ilmu atau profesional berdepan cabaran seperti dikupas Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaini Kasdan.

Junaini berkata, penyampaian ilmu pengetahuan kepada masyarakat perlu dilakukan dalam bahasa yang paling mudah difahami, iaitu bahasa kebangsaan tanpa menyerapnya dalam bahasa asal ia disampaikan.

Cipta istilah industri automobil, telekomunikasi

Jepun dan Korea katanya, contoh negara yang mencipta istilah industri automobil dan telekomunikasi yang dimajukan tanpa menyerapnya dalam bahasa asal negara pencipta teknologi berkenaan.

"Ledakan kemajuan sains dan teknologi yang pesat menyebabkan ilmu pelbagai bidang ditulis dalam bahasa utama dunia, namun proses mendapatkan ilmu berkenaan boleh dilakukan dalam apa bahasa sekalipun.

"Inilah yang dilakukan oleh Jepun yang bukanlah negara asal mula mencipta kereta, tetapi kemudian memajukan industri itu dengan mencipta istilah bersesuaian dalam aksara dan sebutan Jepun bagi mengungkapkan teknologi berkenaan.

"Sedihnya, situasi ini tidak berlaku di negara ini sebaliknya istilah dalam bahasa Melayu bagi mengungkapkan kemajuan sains dan teknologi sering dikatakan sebagai tidak bersesuaian, tidak tepat dan tidak kedengaran ilmiah," katanya pada Wacana Peristilahan dan Masyarakat: Cabaran Masa Kini di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM di sini.

Yang turut hadir Pengarah ATMA, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin dan Perancang Bahasa Bahagian Peristilahan dan Leksikologi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd Fadzli Tajuid.

JUNAINI Kasdan.
JUNAINI Kasdan.

Perbezaan budaya sukarkan penetapan istilah

Junaini berkata, perbezaan budaya di sesebuah negara turut menyukarkan penetapan

istilah tepat, sebaliknya perlu mencari padanan sedekat mungkin.

Sebagai contoh katanya, terdapat sehingga 25 istilah mengenai salji dalam bahasa Inggeris sedangkan di negara ini yang tidak mengalami musim itu, ia diistilahkan sebagai snow saja.

"Budaya kita pula ada nasi, beras, padi dan emping sedangkan masyarakat Inggeris tidak mempunyai konsep berkenaan jadi semuanya diistilahkan sebagai rice saja.

"Bagaimanapun, ia hanya antara cabaran yang dihadapi dan meskipun begitu pemantapan bahasa Melayu perlu dilakukan bagi memastikannya terus dinamik dan ampuh dalam menempuh gelombang globalisasi," katanya.

Berita Harian X