Selasa, 5 Julai 2016 | 8:36am

Kyrgios belum sedia takluk tenis

NICK Kyrgios. - Foto AFP
NICK Kyrgios. - Foto AFP

LONDON: Nick Krygios mungkin antara pemain muda berbakat yang mampu menjadi bintang tenis dunia, tetapi fikiran dan sikapnya menjadi penghalang.

Selepas kekalahan 7-5, 6-1, 6-4 di tangan Andy Murray pada pusingan keempat di Wimbledon, Krygios mengakui persembahannya menentang juara 2013 itu menyedihkan, terutama di set kedua dan ketiga.

Sebelum ini dia pernah mengatakan yang dia tidak sukakan tenis, dan belum bersedia berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pemain terbaik - dan dia belum pasti untuk mengubahnya.

"Ada minggunya saya begitu bersemangat untuk berlatih dan bermain. Saya tidak sabar untuk ke luar sana," kata pemain 21 tahun Australia itu. "Di minggu yang lain, saya tidak melakukan apa-apa.

"Saya tidak tahu jurulatih mana yang sanggup mengikut rentak saya itu."

Kyrgios, pilihan ke-15 kejohanan dan pemain termuda berjaya mara ke pusingan keempat di Wimbledon tahun ini, dianggap antara pemain baru berbakat yang mampu menguasai sukan ini.

Dia pernah mengejutkan nama-nama besar seperti Roger Federer dan Rafael Nadal, serta mempamerkan aksi menakjubkan di atas gelanggang, tetapi keesokan harinya mencetus kritikan ramai dengan kata-katanya yang kurang matang.

"Set pertama cukup baik, tetapi selepas tewas set itu saya berputus asa," kata Kyrgios yang mengakui persiapannya sebelum perlawanan berkenaan ialah bermain komputer.

"Saya bangun pagi ini dan bermain komputer. Adakah itu persiapan paling hebat? Saya tidak tahu tetapi ia menyeronokkan.

"Ada ketika, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak sukakan sukan ini. Tetapi saya tidak tahu apa lagi yang saya akan lakukan tanpanya. Jelas sekali saya suka sukan ini. Ia sebahagian besar daripada kehidupan saya." - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X