Khamis, 30 Jun 2016 | 12:33am
BUAH cili berwarna sama seperti cili biasa yang boleh dijadikan bahan untuk masakan seperti sambal belacan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
SELAIN pokok cili, Kamarul turut menanam pelbagai sayuran dan pokok hiasan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KAMARUL menunjukkan pasu hidro yang boleh digunakan untuk menanam pokok cili dan tanaman lain. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
SELAIN pokok cili, Kamarul turut menanam pelbagai sayuran dan pokok hiasan di Kampung Pernu, Umbai. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA sayuran yang ditanam oleh Kamarul. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Cili paling pedas dunia ada di Melaka

MELAKA: Minat kepada kepelbagaian spesies cili, mendorong sepasang suami isteri dari Jasin di sini, mengumpul benih tanaman itu dari seluruh dunia.

Sejak memulakan usaha itu empat bulan lalu, pasangan Kamarul Ariffin Abdullah, 38, dan isteri, Siti Zubaidah Zainnudin, 28, sudah mengumpul lebih 80 spesies cili di Laman Segar, milik mereka dekat Kampung Pernu, Jasin.

Namun, perjalanan usaha mereka masih jauh kerana semakan mereka mendapati ada lebih 3,000 spesies cili di seluruh dunia dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.


KAMARUL Ariffin Abdullah, 38, dan Siti Zubaidah Zainnudin, 28, menunjukkan pelbagai cili yang ditanan dengan pelbagai warna antaranya Royal Black, Bullet, Cherry Bomb, Chinese Ornamental, Cedrino, Cuepetinho, Purple Tiger, Red Bhut Jolokia, Peter Papper, Trinidad Congo Red, Carolina Reaper, Rainbow Full Sky, Putih Daun Batik dan Sentil Pedas di Kampung Pernu, Umbai. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Kamarul Ariffin berkata, idea untuk menanam cili itu bermula apabila beliau dan isteri melakukan carian dalam internet mengenai sayuran pedas yang berasal dari benua Amerika Selatan dan Asia.

"Tertarik keunikannya, kami mengambil keputusan menjadikan spesies cili sebagai tanaman utama nurseri Laman Segar sehingga mencapai 70 peratus tumbuhan di sini. Selepas empat bulan beroperasi, kami sudah mengumpul lebih 80 spesies cili.

"Antara menarik perhatian ramai adalah cili pelangi dikenali sebagai Rainbow Full Sky atau New Mix Twilight iaitu spesies pokok cili yang mengeluarkan buah pelbagai warna. Perubahan warna cili ini bergantung pada tahap kematangannya.

"Pada sebatang pokok, ada beberapa warna cili iaitu hijau, kuning, jingga, ungu dan merah," katanya ketika ditemui.


PELBAGAI cili yang ditanam dengan pelbagai warna antaranya Royal Black, Bullet, Cherry Bomb, Chinese Ornamental, Cedrino, Cuepetinho, Purple Tiger, Red Bhut Jolokia, Peter Papper, Trinidad Congo Red, Carolina Reaper, Rainbow Full Sky, Putih Daun Batik dan Sentil Pedas. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Antara spesies cili ditanam pasangan itu termasuklah Royal Black; Bullet Cherry Bomb; Chinese Ornamental; Cedrino; Cuepetinho; Purple Tiger; Red Bhut Jolokia; Peter Pepper; Trinidad Congo Red; Carolina Reaper; Rainbow Full Sky; Putih Daun Batik; Cili Geronong dan Centil Pedas.

Kamarul Ariffin berkata, cili Chinese Ornamental mempunyai buah berwarna-warni, manakala warna yang pelik pula dihasilkan Royal Black dan Purple Tiger, yang masing-masing mempunyai buah berwarna hitam dan ungu.

Selain warna, spesies pokok cili yang ditanam di situ juga mempunyai bentuk yang unik, seperti Black Pearl yang mempunyai buah bulat umpama butir mutiara hitam.

Beliau berkata, ramai yang salah sangka dengan cili warna-warni terbabit, yang disangka tidak boleh dimakan ekoran penggunaan bahan kimia.

"Hakikatnya, buah berwarna ini sama saja seperti cili biasa, yang boleh dijadikan bahan untuk masakan seperti sambal belacan.


CILI Rainbow Full Sky atau dikenali sebagai New Mix Twilight adalah spesies pokok cili yang mengeluarkan buah pelbagai warna. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Selalunya kita lihat sambal belacan berwarna merah atau hijau, tetapi kini ia boleh dihasilkan berwarna-warni," katanya yang mengakui tidak gemar makan cili.

Di laman itu juga ada pokok cili yang jarang ditemui di negara ini iaitu Carolina Reaper, spesies yang berasal dari Amerika Syarikat yang mempunyai tahap kepedasan paling tinggi.

Carolina Reaper dianggap cili paling pedas di dunia kerana mencapai lingkungan 1.5 hingga 2.2 juta unit Scoville (unit digunakan untuk mengukur tahap pedas cili).

Tahap kepedasan cili terbabit sebanyak 50 kali ganda, berbanding spesies cili padi biasa di negara ini yang unit Scovillenya adalah 30,000.

Kamarul berkata, beliau masih menunggu pokok cili terbabit berbuah selepas benihnya diperoleh dari Amerika Syarikat.

"Semua benih dari luar negara dibeli secara dalam talian dari sesawang di luar negara. Biasanya, saya memperuntukkan RM100 hingga RM200 setiap kali membuat tempahan.


KAMARUL menunjukkan anak pokok yang baru tumbuh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Benih cili yang dibeli semuanya mempunyai genetik boleh menghasilkan buah berwarna-warni. Saya tidak melakukan percantuman genetik baka cili," katanya yang mengambil tempoh setahun mendalami ilmu dan kemahiran berkaitan pokok cili.

"Lebih RM15,000 diperuntukkan untuk membuka Laman Segar yang beroperasi awal tahun ini. Saya berhasrat menanam kira-kira 250 jenis spesies cili serentak pada tahun ini," katanya yang bercita-cita membuka taman cili pertama negara apabila mempunyai kira-kira 500 spesies cili.

Selain pokok cili, Kamarul Ariffin yang berkebun sepenuh masa turut menanam kira-kira 200 jenis tumbuhan antaranya kubis ungu, salad, brokoli, asparagus, terung putih dan ungu serta jagung pelbagai warna.

Berita Harian X