Jumaat, 24 Jun 2016 | 12:18pm

MUIP agih RM3.2 juta kepada asnaf


Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan wang zakat bernilai RM3.2 juta kepada asnaf merangkumi fakir miskin, ibu tunggal, warga tua dan anak yatim sepanjang Ramadan tahun ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata agihan membabitkan 11,000 penerima dari seluruh daerah di negeri ini.

Selain golongan asnaf, katanya, mualaf turut menerima bantuan sempena Aidilfitri.

"Kita membelanjakan RM2.8 juta untuk diagihkan kepada mualaf di seluruh negeri termasuk saudara baru Orang Asli," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata, MUIP turut menyumbang sagu hati kepada 2,775 orang imam, bilal dan siak yang membabitkan peruntukan RM832,500.

Katanya, MUIP juga menyampaikan sumbangan kepada pesakit yang berada di hospital di Kuantan, Temerloh dan Pekan.

"Sumbangan RM200 diberikan kepada pesakit selain ziarah orang miskin sepanjang Ramadan," katanya.

Sementara itu, katanya, MUIP akan memberi tumpuan kepada beberapa strategi seperti kempen galakan membayar, memperluaskan menggunakan kemudahan internet, bayaran melalui kad kredit dan potongan gaji.

"Kita harap kesedaran dalam kalangan umat Islam negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat, selari usaha kerajaan memperkukuh institusi ini," katanya.

Berita Harian X