Jumaat, 24 Jun 2016 | 12:02am

Cuba kawal anak yang layan laman sosial

GAJET melekakan kanak-kanak dan menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan ahli keluarga atau rakan. - Foto hiasan
GAJET melekakan kanak-kanak dan menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan ahli keluarga atau rakan. - Foto hiasan

Soalan 1

Anak lelaki berusia 14 tahun suka berkongsi semua perkara dilakukan setiap hari dalam Facebook dan Instagram. Sebagai ibu, saya jadi rakannya dalam laman sosial.

Mahu ditegur bimbang dia senarai hitamkan akaun saya.

Jamilah
Seremban, Negeri Sembilan

Anak yang lahir pada tahun 1995 hingga 2009 dikategorikan sebagai Generasi Z. Sebahagian besar daripada mereka banyak menghabiskan masa di depan komputer dan gajet.

Sedikit masa diperuntukkan untuk meneliti dan menilai sesuatu maklumat, jauh sekali mengenal pasti kesesuaian dan ketepatan maklumat.

Bagi anak pada peringkat awal remaja sepertinya yang belum mencapai tahap kematangan pemikiran, apa yang dikongsi dalam Facebook biasanya hanya dalam konteks apa yang berlaku dalam kehidupan di sekolah dan rakan sebaya. Bukan menjangkaui konteks kehidupan sebenar.

Banyak bersembang

Cuba duduk berbual dan berbincang dengan anak mengenai isu penggunaan Facebook dalam keadaan tenang dan berhemah tanpa mereka menyedari yang sebenarnya anda cuba menegurnya.

Anak pada usia ini wajar dijadikan kawan berbicara, berkongsi pandangan dan masalah. Cuba menjadi pendengar yang baik dan memahaminya, bukan mengarah atau menunjukkan autoriti sehingga rasa anda mengongkong atau memaksa.

Jangan menunjukkan reaksi marah yang keterlaluan sekiranya anak terlanjur berkongsi maklumat yang sepatutnya bagi menjaga kehormatan diri.

Minta anak beri pandangan mengenai kesan dan akibat daripada penyalahgunaan Facebook supaya mereka dapat belajar berfikir secara rasional dalam menyelesaikan sesuatu masalah sebelum ia menjadi keterlaluan.

Mereka yakin dengan kemampuan diri dan berasakan pandangan mereka dihargai, pastinya pandangan ibu bapa akan dihormati.

IBU bapa perlu mengawal dengan membenarkan permainan gajet tidak melebihi dua jam sehari. - Foto hiasan
IBU bapa perlu mengawal dengan membenarkan permainan gajet tidak melebihi dua jam sehari. - Foto hiasan

Soalan 2

Anak lelaki saya berusia 10 tahun suka berkurung dalam bilik bermain gajet. Dia tidak minat berbual atau menghabiskan masa bersama dengan keluarga. Apa patut saya lakukan.

Ayah risau
Batu Caves, Selangor

Permainan video, komputer atau telefon bimbit melekakan kanak-kanak. Ini menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan ahli keluarga atau rakan.

Kanak-kanak ketagih permainan kerana bosan, tiada teman berinteraksi atau mungkin sedang menghadapi masalah bagi mencuri tumpuan ibu bapa.

Jika remaja atau kanak-kanak terlalu banyak terdedah ia akan menjejaskan kualiti kehidupan tanpa disedari terutama yang ada unsur ganas dan agresif.

Pakar psikologi kanak-kanak mengkelaskan ia 'permainan pasif' kerana sifatnya yang tidak merangsang keupayaan kanak-kanak berinteraksi, tiada hubungan kemanusiaan dan memahami dunia persekitaran.

Sayangi anak

Justeru, ibu bapa perlu mengawal dengan membenarkan permainan gajet tidak melebihi dua jam sehari.

Lakukan aktiviti bersifat semula jadi sebagai salah satu cara mengurangkan ketagihan gajet. Anak perlu diberi peluang membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti supaya meneroka, eksperimen dan pengalaman dengan dunia persekitaran.

Anak memerlukan perhatian. Jadi banyak berkomunikasi dan bersama supaya merasa disayang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X