Khamis, 23 Jun 2016 | 8:58pm
KUANTAN Medical Centre (KMC).

19 keracunan makanan

Oleh Rosli ilham

bhkt@bharian.com

DUNGUN: Seramai 12 orang dilaporkan mengalami cirit-birit dan muntah selepas menikmati makanan yang dibeli di sebuah gerai di Bazar Ramadan Paka, kelmarin.

Daripada jumlah itu, lima daripada mereka dimasukkan ke wad Hospital Dungun manakala enam sebagai pesakit luar dan seorang dimasukkan ke Kuantan Medical Centre (KMC).

Kebanyakan mereka dikatakan memakan kuih puding buih yang dibeli, petang kelmarin sebelum mengalami muntah-munah dan cirit-birit.

Seorang mangsa, Rohani Muda, 31, berkata dia menikmati puding buih yang dibeli suaminya, Norhisham Manap, 36, di sebuah gerai di Paka, petang kelmarin.

"Ketika waktu berbuka malam kelmarin, saya memakan puding terbabit dan saya rasa sedikit pelik apabila susu puding itu lebih pekat daripada biasa.

"Saya tak ambil cakna dan memakannya dan kira-kira jam 1 pagi semalam, perut saya memulas-mulas menyebabkan saya beberapa kali ke tandas," katanya.

Rohani berkata, oleh kerana sakit perut dan muntah yang berterusan, dia ke klinik dan diberikan ubat.

"Bagaimanapun, apabila keadaan tidak berubah, suami membawa saya ke KMC kira-kira jam 1 petang hari ini dan sebelum dimasukkan ke wad," katanya ketika dihubungi.

Suami mangsa, Norhisham berkata, dia tidak terkena keracunan makanan itu kerana tidak makan puding yang dibelinya.

Katanya, dia sungguh terkejut selepas dimaklumkan ramai lagi yang mengalami keracunan seperti isterinya.

"Saya membeli puding terbabit di Bazar Ramadan dekat Taman Hadhari Paka, malah ramai lain yang terkena apabila memakan puding yang sama di bazar ramadan yang lain,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya sudah mengambil sampel makanan terbabit untuk dianalisis.

"Semua mangsa dimasukkan ke Hospital Dungun dan KMC, manakala beberapa lagi mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Berita Harian X