Khamis, 23 Jun 2016 | 6:30pm

MDEC, TM sertai Pakatan LoRa

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi anak syarikat milik penuhnya, VADS Lyfe Sdn Bhd menyertai LoRa Alliance, persatuan bukan keuntungan terbuka untuk memacu penggunaan Internet of Things (IoT) atau Internet Kebendaan.

Kerjasama itu bertujuan berkongsi amalan terbaik untuk menyokong kesedaran, pembangunan dan pelaksanaan protokol LoRa di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata sebagai agensi kerajaan yang menerajui ICT untuk Malaysia, pihaknya akan terus memacu matlamat menjadi ekonomi digital mapan maju sepenuhnya.

"Ia akan dibina di atas industri ICT domestik yang rancak, penggunaan perubahan penyelesaian digital oleh kerajaan, perniagaan dan rakyat, serta ekosistem yang kukuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif VADS Lyfe dan VADS Bhd, Massimo Migliuolo, berkata sebagai anggota LoRa Alliance, pihaknya akan secara aktif membangunkan penyelesaian baharu untuk penawaran perkhidmatan pintar menerusi Internet of Small Things.

"Lakaran berdasarkan rangkaian infrastruktur yang meluas, pusat data, ICT dan penyelesaian BPO, kami membolehkan penyelesaian bersepadu untuk peningkatan perhubungan dan dunia digital," katanya.

Antara sumbangan MDEC kepada LoRa Alliance ialah mewujudkan kesedaran di seluruh negara dan serantau; bekerjasama dengan pemegang kepentingan utama untuk memacu impak pelaksanaan IoT dengan teknologi LoRa.

MDEC juga menyokong kemasukan LoRa Alliance dan anggotanya ke dalam MSC Malaysia yang menyediakan insentif bagi syarikat ICT untuk beroperasi di luar Malaysia sebagai kemasukan langsung baharu ke pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.

Sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu nombor satu di Malaysia, TM berada pada kedudukan kukuh sebagai peneraju untuk memboleh dan melaksanakan teknologi LoRa di seluruh negara.

TM akan memulakan Rangkaian Pengesan Tanpa Wayar (WSN) di seluruh negara menerusi pembangunan rangkaian kawasan luas kuasa rendah (LPWAN) berdasarkan Teknologi LoRa.

Apabila dilaksanakan, TM akan menjadi perintis di rantau ini untuk menggunakan secara komersial infrastruktur LoRa, sekali gus mewujudkan peluang pasaran baharu bagi syarikat telekomunikasi itu dan perniagaan IoT lain untuk memanfaatkannya.

INFO

* Protokol sambungan LoRa - teknologi rangkaian kawasan luas tanpa wayar baharu

* Khusus menghubungkan peranti dengan penyambungan jalur lebar rendah

* Protokol LoRa adalah tambahan kepada protokol sedia ada (bluetooth, zigbee, Wi-Fi)

* LoRa bermanfaat untuk industri, pengangkutan, pertanian dan aplikasi berkaitan sektor lain

Berita Harian X