Khamis, 23 Jun 2016 | 2:46pm

Taman Rama-Rama, Reptilia Melaka wujudkan seksyen pendidikan

Eksekutif Makmal dan Hidupan Liar Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRRM), Norasyikin Zainudin memberi penerangan di sudut Larva Center dan Pupa House, Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin
Eksekutif Makmal dan Hidupan Liar Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRRM), Norasyikin Zainudin memberi penerangan di sudut Larva Center dan Pupa House, Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin

AYER KEROH: Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRM) mewujudkan empat seksyen pendidikan sebagai sesi pembelajaran luar kelas yang akan memberi peluang kepada pelajar melihat aktiviti serangga itu.

Empat seksyen berkenaan adalah Larva Center, Pupa House, Tarantula Adventure dan Bugs Kingdom.

Eksekutif Makmal dan Hidupan Liar TRRM, Norasyikin Zainudin, berkata seksyen yang dibuka tahun lalu itu dilancarkan secara rasmi hari ini.

Selain murid dan pelajar, katanya, pembukaan empat seksyen itu akan memberi peluang penuntut institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan.

"Larva Centre memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengunjung mengenai metamorfosis rama-rama dan pengetahuan agrikultur dalam pembiakan serangga itu diiringi penerangan kakitangan taman ini.

"Penerangan dilengkapi maklumat ringkas dan gambar rajah serta penyediaan sebuah mikroskop yang membolehkan pengunjung melihat bentuk sisik sebenar pada sayap rama-rama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, lapan daripada 50 spesies ulat beluncas berserta pokok perumah ialah Clipper, Archduke, Indian Leaf, Common Mime, Malayan Eggfly, Malay Lacewing, Dark Blue Tiger dan Common Tree Nymph.

"Gua Tarantula yang dibina dalam tempoh lima bulan menyerupai sanktuari mempamerkan spesis labah-labah tarantula terbanyak di negara ini dengan 12 spesies, antaranya Theraphosa Blondi.

"Bugs Kingdom mempamerkan 19 spesies serangga dalam bekas kaca yang disusun mengikut keperluan dan perilaku serangga, selain ada serangga terbesar di dunia," katanya.

Berita Harian X