Rabu, 20 Ogos 2014 | 10:19pm
MAJLIS Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pulau Pinang terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat besi bumbung zink di tempat parkir kereta yang menghempap tujuh buah biji kereta akibat hujan lebat dan angin kuat di Jalan Aston, Bukit Mertajam, semalam. - Foto Amir Irsyad Omar

Tujuh kereta rosak dihempap bumbung runtuh

BUKIT MERTAJAM: Tujuh buah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah bangunan panggung wayang lama di Jalan Anston, di sini rosak selepas dihempap bumbung kaki lima premis yang runtuh hari ini.

Antara kenderaan yang mengalami kerosakan akibat kejadian ketika hujan lebat pada jam 2.45 petang itu ialah Proton Saga BLM, Toyota Vios, Perodua Myvi, Perodua Viva dan Hyundai.

Jurucakap bomba dan penyelamat Bukit Mertajam berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berniaga apam balik di sebelah bangunan itu cedera ringan akibat terkena serpihan runtuhan.

Wanita berusia 60-an itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

Seorang daripada pemilik kereta berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas diberitahu oleh seorang rakan.

"Saya meletakkan kereta di situ sejak pagi kerana bermesyuarat di sebuah pejabat di kawasan itu.

"Memang ada terdengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan jalan raya dan tidak sangka pula kereta saya yang kena," kata pemilik kereta Proton Saga BLM itu.

Sementara itu, T. Veerappen, 60, yang berniaga roti banggali tidak jauh dari tempat itu berkata, beliau mendengar satu dentuman yang kuat.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas, apabila saya menoleh ke arah situ selepas bunyi dentuman kuat, saya tengok semua kereta yang diparkir sudah dihempap bumbung itu," katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Berita Harian X