Khamis, 23 Jun 2016 | 12:14am
SONGKET Rajang lebih istimewa dan sama sekali berbeza dengan koleksi songket yang dihasilkan di negeri lain, khususnya di Kelantan dan Perak. - Foto Khalid Latip

Songket Rajang laris sempena Aidilfitri


SARIKEI: Biarpun harganya boleh mencecah sehingga RM10,000 sehelai, permintaan orang ramai, terutama dalam kalangan golongan berkemampuan terhadap Songket Rajang tidak pernah merosot, terutama apabila menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Kumpulan Tenun Songket Rajang, Saanah Suhaili, berkata, ketika ini tempahan penggemar songket meningkat sehingga terpaksa menggunakan kepakaran tambahan bagi membolehkannya siap dalam tempoh ditetapkan.

Harga Songket Rajang paling rendah ialah RM300 sehelai.

"Bagi penghasilan corak biasa, kami memerlukan tempoh sebulan, manakala untuk tempahan khas menggunakan rekaan eksklusif, ia mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan kerana memerlukan ketelitian.

"Ini perkara biasa setiap kali Ramadan, malah permintaan terus meningkat menjelang Syawal. Pelanggan tidak mahu ketinggalan menggayakan Songket Rajang pada pagi raya, terutama dalam kalangan mereka yang berkemampuan," katanya kepada BH.

Terletak di Kampung Rajang, Belawai, Pusat Tenunan Songket Rajang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan peminat songket di Malaysia, khususnya golongan kenamaan kerana kehalusan seni buatan dan kualitinya.

ANTARA songket yang ditenun Pusat Tenunan Songket Rajang. - Foto Khalid Latip

Malah, kebanyakannya menganggap Songket Rajang lebih istimewa dan sama sekali berbeza dengan koleksi songket yang dihasilkan di negeri lain, khususnya di Kelantan dan Perak.

Istimewanya, Songket Rajang ditenun menggunakan benang khas dibawa dari Terengganu dan ia boleh dipakai kedua-dua belah, malah boleh diterbalikkan kerana corak serta tenunannya sama di bahagian luar atau dalam.

Saanah memberitahu, mereka lazimnya akan menyiapkan tempahan lebih awal bagi menjamin kualiti songket yang dihasilkan selain memastikan pelanggan tidak terlepas peluang untuk memakainya.

Di peringkat awal, katanya, sukar untuk memasarkan produk itu kepada pelanggan namun berkat kesungguhan, mereka kini tidak `menang tangan' menerima tempahan.

"Bahkan, kebanyakan songket yang sudah siap tidak sempat dipamerkan. Ada ketikanya kami terpaksa mengejar masa untuk menyiapkannya  berikutan permintaan tinggi pelanggan," katanya.

Di sebalik kejayaan itu, kata Saanah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), banyak membantu promosi dan pemasaran songket mereka ke seluruh negara.

SONGKET Rajang ditenun menggunakan benang khas dibawa dari Terengganu dan ia boleh dipakai kedua-dua belah, malah boleh diterbalikkan kerana corak serta tenunannya sama di bahagian luar atau dalam. - Foto Khalid Latip

PROSES tenunan dilakukan dengan berhati- hati bagi menjamin kualiti songket. - Foto Khalid Latip

"Selepas Pusat Tenunan Songket Rajang dibuka pada awal 1990-an dulu, perusahaan kecil ini berkembang pesat. kami mempunyai seramai  10 pengusaha aktif yang kesemuanya berasal dari Kampung Rajang. Ia diusahakan setiap hari bermula daripada jam 9 pagi hingga 5 petang," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Husaini Rosdi, 30, berkata keunikan Songket Rajang bukan sahaja kerana fabriknya yang lembut tetapi juga membuat  pemakainya berasa selesa dan yakin.

"Yang menarik, si penenun mampu mempelbagaikan corak dan motif memaparkan ciri-ciri unik identiti masyarakat tempatan. Pada masa yang sama, mereka begitu kreatif memenuhi aspirasi pelanggan sesuai dengan perkembangan masa,'' katanya

ANTARA tenunan eksklusif Songket Rajang. - Foto Khalid Latip

Info

  • Pembuatan Songket Rajang menggunakan peralatan tradisi termasuk gedongan, acak, dayan, apit, lampaut, tumpuan, beliro, suri, lidi, topong, torak dan peliting
  • Corak songket ditebuk pada kepingan kertas keras dipanggil 'punch card' sebelum corak itu 'dibaca', seterusnya ditenun
  • Harga Songket Rajang antara RM300 hingga RM10,000 sehelai
  • Songket Rajang tidak boleh dibasuh, dilipat dan dijemur di bawah matahari kerana boleh menyebabkannya pudar 
  • Budaya Melanau, tumbuh-tumbahan dan buah-buahan sebagai motif serta corak utama.
  • Menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi, termasuk benang emas dari Terengganu
  • Pembuatan Songket Rajang bermula pada era 1920-an.
  • Mengambil masa satu hingga tujuh bulan untuk disiapkan
  • Kebanyakan fabrik yang ditonjolkan dengan warna terang dan lembut tetapi menarik.

Berita Harian X