Khamis, 23 Jun 2016 | 12:00am
SENJATA ringan menjadi pilihan dan ia mudah diperoleh.

Imej 'polis dunia' Amerika tercalar

KELUARGA meratapi kematian mangsa dalam insiden di Pennsylvania.

AMERIKA Syarikat (AS) bukan lagi negara selamat untuk rakyatnya. Majoriti penduduk di negara yang diangkat sebagai 'polis dunia' beranggapan mereka mungkin ditembak mati bila-bila masa saja.

Ironinya, mengapa rakyatnya beranggapan begitu? Sebab munasabah kejadian seperti tembakan rambang ke atas orang ramai semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini yang sudah pun mengorbankan beratus-ratus nyawa.

Menurut data yang dikeluarkan pada 1996 hingga 2012, hampir satu pertiga tembakan besar-besaran yang mengorbankan ratusan orang berlaku di AS. Ia disusuli Filipina, Russia, Yaman dan Perancis.

Tinjauan yang di buat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati sebanyak 292 insiden dan 90 daripadanya berlaku di di negara itu.

Motifnya dikaitkan dengan penyakit mental atau terpengaruh ideologi kumpulan militan yang semakin kemuncak sejak akhir-akhir ini.

ORANG ramai berhimpun memperingati mangsa pembunuhan beramai-ramai di Virginia.

Kronologi tiga kejadian seperti di Orlando, Florida dianggap pembunuhan terburuk beramai-ramai dalam lipatan sejarah AS yang mengorbankan 49 orang, cukup membuktikan bahawa kejadian sama mungkin bakal berulang lagi.

Sebelum itu, insiden lain menyayat hati bertarikh 16 April 2007 membabitkan seramai 32 pelajar kampus Institut Politeknik Virginia dan Universiti State, Blacksburg terbunuh manakala 17 yang lain cedera.

Ia disusuli kejadian pada 14 Disember 2012, seramai 27 kanak-kanak termasuk lelaki dewasa di Sandy Hook Elementary School terbunuh akibat tembakan rambang oleh seorang lelaki berusia 20 tahun yang menceroboh sekolah itu.

Data dikeluarkan pada 2013 mendapati kawasan perniagaan antara lokasi paling terdedah dengan tembakan besar-besaran ini yang mencatat 45.6 peratus, disusuli sekolah, 24.4 peratus dan bangunan kerajaan, 10 peratus.

Lantaran itu, lokasi 'panas' itu dianggap sasaran paling mudah penembak untuk mencari mangsanya yang kebanyakan berkumpul dalam kelompok tertentu.

KANAK-kanak turut terbabit dengan kempen haramkan senjata api.

Data 2012 hingga 2016 disiarkan FBI mendapati, punca utama kejadian menembak orang ramai disebabkan pemilikan senjata api yang berleluasa dikalangan isi rumah di AS.

Berdasarkan Tinjauan Senjata Kecil yang berpangkalan di Switzerland, sebanyak 270 juta senjata api direkodkan dimiliki oleh penduduk negara itu.

Laporan majalah Mother Jones menyebut mengenai pembunuhan beramai-ramai sejak 1982 hingga 2012 mendapati seramai 49 orang penembak memperoleh senjata api secara sah dan melakukan serangan itu. Jelasnya, ini menjadikan AS sebagai negara paling ramai menggunakan senjata api mengikut saluran undang-undang.

Justeru, tidak hairanlah kebanyakan penembak yang melakukan serangan menggunakan lebih daripada satu senjata api dan juga ditemui bersama mereka juga lebih daripada satu. Kebanyakan penembak ini terdiri daripada lelaki.

MANGSA yang terselamat mengalami trauma.

Dalam kejadian di kampus Institut Politeknik Virginia dan Universiti State, lelaki yang menembak mati 32 pelajar menggunakan senjata api jenis Glock 19 semi automatik 9mm dan .22 caliber Walther p22.

Difahamkan kedua-dua senjata api terbabit banyak digunakan oleh pegawai penguatkuasa kerana selain ringan, murah, mudah digunakan. Ia dikatakan memerlukan sedikit kekuatan untuk mengawalnya berbanding senjata api lain.

Baru-baru ini, Presiden Barack Obama mengulangi gesaannya supaya kawalan senjata api lebih ketat di AS.

"Kejadian pembunuhan beramai-ramai adalah satu peringatan menunjukkan betapa mudahnya seseorang memperoleh senjata dan menggunakannya untuk menembak orang di sekolah, rumah ibadat, panggung wayang atau kelab malam. Kita perlu menanganinya jika mahukan negara kita bebas daripada serangan sedemikian," katanya.

PELURU menjadi penyelesaian pantas di Amerika Syarikat.

INFO: Kronologi kes pembunuhan beramai-ramai di AS

12 Jun 2016 - 49 terbunuh di kelab malam Orlando, Florida

2 Disember 2015 - Inland Regional Center San Bernardino, California

14 Disember 2012 - 27 terbunuh sekolah Sandy Hook Elementary Newtown

16 April 2007 - 32 terbunuh di kampus Virginia Tech Blacksburg, Virginia

16 Oktober 1991 - 23 terbunuh di kafeteria Luby Killeen, Texas

18 Julai 1984 - 21 terbunuh di restoran makan segera San Ysidro, California

1 Ogos 1966 - 18 terbunuh di Universiti Texas Austin, Texas

STATISTIK: Negara paling banyak kes pembunuhan beramai-ramai - (Nota: angka dari 1996-2012)

1 Amerika Syarikat - 90 kes

2 Filipina - 18 kes

3 Russia - 15 kes

4 Yaman - 11 kes

5 Perancis - 10 kes

Kawasan tumpuan pembunuhan beramai-ramai

1 Sekolah -24.4 peratus

2 Bangunan kerajaan - 10 peratus

3 Kawasan perniagaan - 45.6 peratus

4 Kemudahan kesihatan - 2.5 peratus

5 Rumah ibadat - 3.8 peratus

Berita Harian X