Selasa, 21 Jun 2016 | 5:40pm

JDT mahu beli tanah di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bercadang membeli sebidang tanah di bandar Valencia atau Barcelona di Sepanyol untuk dibangunkan menjadi sebuah kem latihan JDT dan juga tempat penginapan pemain untuk perlawanan pra musim di negara Eropah berkenaan.

Laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers memaklumkan satu delegasi JDT dihantar ke Sepanyol hari ini untuk meninjau lokasi yang bersesuaian di sana.

"Selain itu, ia juga boleh menjadi tempat penginapan pemain muda kami yang diserapkan dalam mana-mana kelab di Sepanyol," kata kelab itu.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara Eropah pada Disember tahun lalu termasuk mengadakan perjumpaan dengan beberapa kelab seperti Valencia, Real Madrid dan Barcelona di Sepanyol serta kelab Perancis, Paris St Germain.

Lawatan berkenaan antara lain bertujuan memperluas jaringan usaha sama antara JDT dengan kelab-kelab berkenaan.

Untuk rekod, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah menjalankan program pembangunan akar umbi JDT bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund sejak tahun lalu dalam usaha melahirkan pemain muda berkaliber pada masa akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X