Isnin, 10 November 2014 | 11:52am
Imej yang dirakam oleh angkasawan NASA, Reid Wiseman dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang dihantar menerusi Twitter sehari sebelum beliau dan dua rakannya berlepas pulang ke Bumi semalam. - Foto AFP

Tiga angkasawan ISS berlepas balik ke bumi

WASHINGTON: Tiga angkasawan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berlepas balik ke bumi dari stesen orbit itu dengan kapsul Soyuz yang menamatkan ekspedisi selama lima setengah bulan.

Kapsul itu yang berlepas pada jam 7.31 malam (8.30 pagi ini), dijangka membuat pendaratan dengan payung terjun di Kazakhstan di timur laut Arkalyk pada jam 10.58 malam (11.58 malam).

"Saya berasa bertuah kerana diberi keistimewaan berada di atas ini selama 165 hari. Kini saya ingin terus balik ke rumah," kata angkasawan NASA, Reid Wiseman ketika majlis pertukaran anggota Sabtu lalu yang disiarkan menerusi televisyen NASA dari stesen angkasa lepas itu.

Turut akan kembali bersama Wiseman ialah komander stesen, Maxim Suraev dari Agensi Angkasa Lepas Russia, Roscosmos dan jurutera penerbangan Jerman, Alexander Gerst dari Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Ketiga-tiga mereka berlepas ke ISS dalam kapsul sama pada 28 Mei lalu.

Tiga kru yang masih berada di stesen angkasa lepas berkenaan ialah komander Barry Wilmore dari NASA dan angkasawan Russia, Elena Serova dan Alexander Samoukutyaev, yang tiba enam minggu lalu.

Anggota pengganti yang akan menyertai mereka - angkasawan Anton Shkaplerov, angkasawan NASA, Terry Virts dan angkasawan Itali, Samantha Cristoforetti, yang dijangka dilancarkan pada 23 November dari pangkalan Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.

Stesen angkasa lepas itu, yang mengelilingi orbit pada kira-kira 418 kilometer di atas bumi, adalah makmal penyelidikan bernilai AS$100 bilion, dimiliki dan dikendalikan secara bersama oleh 15 negara. - REUTERS

Berita Harian X