Selasa, 21 Jun 2016 | 12:07am
KOLEKSI membabitkan kerjasama kedua antara Fazura dengan Zalora.

Koleksi sopan dan selesa House of Doll

FAZURA tawarkan busana Aidilfitri guna fabrik ringan, serap peluh.

KOLEKSI Fazbulous Raya by Fazura, mengangkat keindahan persalinan wanita Melayu lama seperti Puteri Radin Mas dalam pilihan baju raya khusus untuk wanita.

Tidak terlalu sendat dan praktikal digayakan pada hari raya, Pengarah House of Doll, Nurfazura Sharifuddin, berkata ia dihasilkan daripada fabrik ringan, mudah serap peluh seperti kapas, memandangkan pada hari raya, selain sibuk meraikan tetamu, wanita tetap akan turun ke dapur untuk berkemas.

"Sambil beraya, kita juga harus membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan. Justeru, saya memilih persalinan yang praktikal. Tidak terlalu ketat potongannya membolehkan setiap pemakai berasa selesa.

"Kadangkala saya berasakan pakaian yang sendat atau jenis fabrik yang mudah nampak kotor, menyebabkan wanita, mengehadkan diri untuk melakukan tugasan ringan seperti mengangkat juadah atau melayani tetamu," katanya pertunjukan fesyen Rayalution: Zalora Raya Fashion Festival 2016, baru-baru ini.

KOLEKSI busana sesuai dan selesa untuk hari raya. - Foto Saifullizan Tamadi

Kurung moden

Koleksi berkenaan adalah kerjasama kedua antara Fazura dengan Zalora. Antara ditampilkan termasuk baju kurung dan kurung moden yang digarap indah bersama potongan panel pada bahagian empayar wanita. Potongan penal itu antara paling ketara mencuri tumpuan dalam koleksi ini.

"Saya berasakan potongan kurung kekal sepanjang zaman dan menjangkakan ia menjadi pilihan ramai wanita untuk menyambut hari raya nanti," katanya.

Warna ceria

Polos dalam warna ceria seperti merah jambu, biru biji kundang dan hijau serindit, kata Fazura, warna itu bersama permainan penal menyerlahkan lagi keanggunan pemakai.

"Lilitan tudung sederhana, daripada fabrik bermotif, barangkali padanan serasi untuk koleksi sopan dan manis ini," katanya.

Harga ditawarkan antara RM200 hingga RM400.

Berita Harian X