Sabtu, 18 Jun 2016 | 11:42pm

GP Azerbaijan: Rosberg petak depan, Hamilton terbabas

NICO Rosberg diapit pemandu Force India Sergio Perez (kanan) dan pemandu Red Bull-TAG Heuer, Daniel Ricciardo selepas menguasai petak pertama perlumbaan Grand Prix Azerbaijan, sebentar tadi. - Foto Reuters
NICO Rosberg diapit pemandu Force India Sergio Perez (kanan) dan pemandu Red Bull-TAG Heuer, Daniel Ricciardo selepas menguasai petak pertama perlumbaan Grand Prix Azerbaijan, sebentar tadi. - Foto Reuters

BAKU: Nico Rosberg menyambar petak depan Grand Prix Azerbaijan dengan rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton sekadar petak ke-10 selepas melanggar penghadang pada sesi kelayakan di litar jalanan Baku, sebentar tadi.

Hamilton muncul terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan bebas tetapi juara dunia itu melalui sesi kelayakan tiga yang tidak menyebelahinya apabila terbabas melanggar penghadang di selekoh 10.

Rosberg mengambil kesempatan di atas nasib malang Hamilton itu.

Peneraju kejuaraan dari Jerman itu memecut laju untuk mencatat kepantasan satu minit 42.758 pada sesi kelayakan yang terpaksa ditangguh selama dua minit selepas bendera merah dinaikkan bagi membolehkan marsyal membersihkan litar.

"Saya tidak tahu apa kemungkinan untuk esok," kata Hamilton. "Ia kerosakan yang buruk. Pasukan ada menukar sesuatu semalaman, tetapi saya tidak tahu mengapa tiba-tiba saya hilang kawalan."

Apabila aksi kelayakan itu bersambung, Sergio Perez merakam masa kedua terpantas buat Force India, tetapi pelumba Mexico itu akan memulakan perlumbaan di petak ketujuh selepas dikenakan penalti lima grid kerana menukar kotak gear.

Ini bermakna Daniel Ricciardo ketiga terpantas untuk Red Bull, akan memulakan perlumbaan esok di sebelah Rosberg di grid depan.

Dua pelumba Ferrari Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen keempat dan kelima terpantas di depan Felipe Massa dari Williams, diikuti Daniil Kvyat dari Toro Rosso dan Valtteri Bottas (Williams).

Pelumba muda sensasi Belanda Max Verstappen kesembilan terpantas di depan Hamilton. - AFP

Keputusan Sesi Kelayakan GP Azerbaijan

1. Nico Rosberg (GER) Mercedes 1:42.758 saat

2. Sergio Perez (MEX) Force India 1:43.515

3. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull-TAG Heuer 1:43.966

4. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1:43.966

5. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1:44.269

6. Felipe Massa (BRA) Williams 1:44.483

7. Daniil Kvyat (RUS) Toro Rosso 1:44.717

8. Valtteri Bottas (FIN) Williams 1:45.246

9. Max Verstappen (NED) Red Bull 1:45.570

10. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes 2:01.954

Berita Harian X