Sabtu, 18 Jun 2016 | 12:32am

Pesawat peninjau Vietnam hilang


SERPIHAN milik pesawat peninjau yang ditemui pasukan penyelamat Vietnam. - Foto EPA

HANOI: Pasukan penyelamat Vietnam menemui beberapa serpihan milik pesawat peninjau yang hilang dengan sembilan penumpang.

Serpihan termasuk bangkai memaparkan logo pesawat malang itu, tayar, kerusi dan barang peribadi anggota kru ditemui 37 kilometer ke tenggara pulau Back Long Vi dan 5.5 kilometer ke timur garis pemisah antara Vietnam dan China di Teluk Tonkin, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Pesawat berkenaan putus hubungan dengan pusat arahan awal tengah Khamis, kira-kira 40 kilometer ke barat daya pulau Back Long Vi, di luar pantai bandar raya Hai Phong.

Sementara itu, akhbar online, VnExpress, memetik komander polis maritim, Mejar Jeneral Nguyen Quang Dam, sebagai berkata cuaca buruk mungkin menjadi punca nahas.

Dam berkata, kru meminta turun ke paras lebih rendah kerana cuaca buruk yang tidak dijangka.

Akhbar Thanh Nien memetik pegawai ramalan cuaca, Nguyen Dinh Thuat, sebagai berkata hujan dan angin kuat ketika pesawat itu putus hubungan.

Sembilan mangsa dalam pesawat peninjau itu ialah antara 1,500 anggota keselamatan yang dihantar untuk mencari juruterbang jet pejuang Sukhoi Su-30 MK2 yang hilang Selasa lalu yang dalam penerbangan latihan.

Seorang juruterbang diselamatkan bot nelayan pada Rabu.

Akhbar Ho Chi Minh City Law melaporkan usaha mencari dihentikan pagi Jumaat kerana cuaca buruk.

Sementara itu, China menghantar satu bot penyelamat dan dua kapal pengawal pantai sebagai reaksi kepada permintaan Vietnam untuk membantu dalam usaha mencari, kata Kementerian Pertahanan. - AP

Berita Harian X