Jumaat, 17 Jun 2016 | 8:03am

Mah Sing tinjau usaha sama bina rumah mampu milik


PENGARAH Urusan Kumpulan Mah Sing Berhad, Tan Sri Leong Hoy Kum bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad, Datuk Steven Ng Poh Seng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad, Ng Chai Yong (kanan) mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Am Tahunan Kumpulan Mah Sing Berhad ke-24 di Wisma Mah Sing, Jalan Sungai Besi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd sedang berunding untuk membentuk usaha sama dengan kerajaan dan beberapa pemilik tanah persendirian dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam segmen perumahan mampu milik.

Pemaju perumahan tempatan itu mempunyai keupayaan berbuat demikian dengan sokongan tunai berjumlah RM1.1 bilion yang dimilikinya pada masa ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata bersandarkan permintaan pasaran pada masa ini, sasaran utama kumpulan menuju ke hadapan adalah melancarkan hartanah mampu milik yang menepati kehendak pembeli.

"Ketika ini, kami sedang meneroka peluang pembelian tanah dan membentuk usaha sama dengan kerajaan, mahu pun pemilik tanah persendirian," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mah Sing di sini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan perkembangan lanjut perbincangan yang sedang diadakan antara syarikat itu dengan pihak kerajaan, yang juga bakal menjadi antara usaha sama sulung kumpulan itu dengan sektor awam.

"Dengan rekod kukuh sedia ada kumpulan, kami percaya ia (usaha sama) akan dapat direalisasikan. Namun, belum ada sesuatu yang kukuh buat masa ini," katanya.

Mah Sing buat masa ini mempunyai 46 projek pembangunan, yang mana 35 daripadanya masih dalam pembinaan. Daripada jumlah itu, hanya projek Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (KKCC) di Sabah yang dimajukan menerusi usaha sama dengan pihak kerajaan.

Mengenai rancangan pembelian tanah, Hoy Kum berkata pihaknya masih berminat untuk mencari peluang di kawasan Greater Kuala Lumpur, Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Katanya, kumpulan masih mempunyai simpanan tanah seluas 1,020 hektar dengan jumlah GDV keseluruhan RM32.26 bilion yang akan menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat antara lapan hingga sembilan tahun lagi.

"Menuju separuh kedua 2016 pula, kami akan memberikan perhatian kepada usaha mencapai sasaran jualan RM2.3 bilion," katanya.

Setakat 30 April 2016, Mah Sing mencatatkan jualan RM536 juta walaupun suku pertama lalu adalah singkat disebabkan musim perayaan yang panjang.

INFO:

* 50 peratus rumah dilancarkan Mah Sing berharga di bawah RM500,000

* RM2 bilion GDV hartanah baharu bagi 2016

* RM1.4 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) projek pembangunan bercampur bersepadu KKCC

Projek Hartanah semasa Mah Sing

* Southville City@KL South di Bangi

* Lakeville Residences di Taman Wahyu

* D'Sara Sentral di Sungai Buloh

* M Residences 2 di Rawang

* Ferringhi Residences di Batu Ferringhi, Pulau Pinang

Berita Harian X