Khamis, 16 Jun 2016 | 5:43pm

Seusia setahun jalani 4 pembedahan pernafasan kronik

SITI Damia hanya boleh mengalirkan air mata kerana tiada keluar suara apabila diberi susu melalui tiub setiap tiga jam oleh ibunya. - Foto Zaman Huri Isa
SITI Damia hanya boleh mengalirkan air mata kerana tiada keluar suara apabila diberi susu melalui tiub setiap tiga jam oleh ibunya. - Foto Zaman Huri Isa

TUMPAT: Walaupun usia baru mencecah setahun, Siti Damia Farisya Saiful Zaid sudah menjalani empat pembedahan di rongga hidung dan tekak.

Kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan kronik itu hanya terbaring di tilam dan tubuh seberat empat kilogram itu mencerminkan penderitaannya.

Tidak mampu menelan makanan pepejal, Siti Damia yang ditemui di rumahnya di Kampung Sedar di sini, hanya bergantung kepada susu tetapi tidak boleh diminum menggunakan botol, sebaliknya menerusi tiub yang dimasukkan ke dalam rongga hidung.

Ibunya, Siti Sakinah Awang, 35, berkata Siti Damia yang dilahirkan secara normal tahun lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana beberapa komplikasi.

"Seawal usia tiga bulan, Siti Damia menjalani pembedahan membuka saluran pernafasan dan beberapa bulan selepas itu, pembedahan sekali lagi dibuat untuk memperbesarkan saluran itu.

"Pembedahan seterusnya adalah memperbesarkan saluran manakala yang terakhir iaitu pada November tahun lalu membabitkan injap di ruang pernafasan," katanya.

Siti Sakinah berkata, doktor pernah mencadangkan anak bongsu daripada lima beradik itu menjalani pembedahan membuat lubang di perut untuk membolehkan makanan dimasukkan, namun beliau menolak kerana risau akan timbul masalah jangkitan kuman.

Bukan sekadar mengalami masalah pernafasan kronik, kanak-kanak malang itu turut menghidap jantung berlubang sejak dilahirkan dan rawatan susulan masih dijalankan bersama doktor pakar di HRPZ II.

Berita Harian X