Khamis, 16 Jun 2016 | 11:56am

Polis Orlando temui mayat budak disambar buaya


Pihak berkuasa melakukan operasi mencari mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang berhampiran Grand Floridian Resort & Spa di Walt Disney World Resort, Orlando, Florida, Amerika Syarikat. - Foto EPA

ORLANDO: Penyelam polis menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang diseret buaya di depan keluarganya ketika bercuti di Walt Disney World di Orlando, Florida.

Kanak-kanak itu disambar buaya ketika bermain di tepi air malam Selasa lalu dan diseret ke dalam air walaupun ibu bapanya berusaha untuk menyelamatkan mangsa.

Sherif Mukim Orange, Jerry Demings, berkata beliau dan paderi Katolik memaklumkan keluarga mangsa mayat budak lelaki itu ditemui berhampiran tempat beliau hilang dan masih sempurna.

Bedah siasat akan dibuat, kata Demings, tetapi jangkaannya adalah kanak-kanak itu lemas.

"Ia mesej berat untuk disampaikan. Sudah tentu keluarga berkenaan sedih tetapi saya percaya mereka lega kerana sudah menemui anak mereka dan boleh menerima apa yang berlaku," kata Demings kepada sidang akhbar.

Buaya itu dipercayai berukuran 1.2 meter dan dua meter panjang.

Pegawai hidupan liar sebelum itu menangkap dan membunuh lima reptilia dari Lagun Seven Seas dan membelah mereka untuk mencari kesan kanak-kanak itu.

Ketua Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, Nick Wiley, berkata masih terlalu awal untuk berkata satu daripada buaya berkenaan menyerang kanak-kanak itu.

Pusat peranginan itu menutup pantai dan pusat rekreasi manakala pasukan mencari menelusuri lagun itu, tasik buatan manusia yang mencecah 4.2 meter dalam. - Reuters

Berita Harian X