Rabu, 15 Jun 2016 | 12:14am
PULAU batu karang yang terletak hampir 100 batu nautika dari Kuala Sungai Miri. - Foto Kandau Sidi

Pulau terumbu karang jadi sasaran penceroboh


MIRI: Kedudukannya sebagai sebuah pulau di perairan utara Sarawak, hanya dapat dilihat secara jelas dari jauh ketika air surut.

Lokasinya di kawasan gugusan terumbu karang Luconia, hampir 100 batu nautika dari Kuala Sungai Miri di sini, membuatkan ia sukar dikunjungi, tetapi dikesan sering menjadi sasaran pencerobohan asing.

Pengarah Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit, berkata perairan pulau terbabit kaya dengan pelbagai spesis ikan komersial, yang menjadi buruan nelayan dan pemancing.

 

Antara ikan tumpuan sekitar perairan terbabit termasuklah tuna sirip kuning, kerapu, jenahak, layar, merah dan sebagainya, sekali gus menjadikan lokasi terbabit sering diceroboh nelayan asing.

Tiada tumbuhan berakar di atas pulau 'batu karang' berwarna putih yang berkeluasan kira-kira dua gelanggang bola keranjang itu, sebaliknya hanya dihuni burung camar.

"Perairan pulau ini kaya dengan pelbagai jenis karang termasuk berwarna biru, yang sukar dilihat di tempat lain.

"Dari jauh, ketika cuaca cerah kita boleh lihat jelas warna hijau terang muncul di sekitar pulau itu pada kedalaman hanya dua meter," katanya kepada BH yang menyertai tinjauan ke kawasan itu bersama APMM baru-baru ini.

TERUMBU karang berwarna biru terdapat banyak di kawasan kedalaman dua meter sekitar pulau itu. - Foto Kandau Sidi

PENGARAH APMM Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit. - Foto Kandau Sidi

Ismaili berkata, perairan sekitar pulau batu karang terbabit amat sesuai untuk aktiviti menyelam skuba, namun belum mendapat pendedahan meluas.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kajian terperinci dibuat bagi mengenal pasti keunikan pulau berkenaan sebagai destinasi pelancongan baharu untuk Sarawak.

Sementara itu, Martin Wong Jun Kung, 64, yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai jurulatih skuba di Sarawak, menyifatkan pulau terumbu karang itu adalah aset penting kepada sektor pelancongan negara ini.

"Justeru ia harus dilindungi daripada sebarang kegiatan tidak sihat seperti aktiviti pencerobohan dan mengebom ikan.

TERUMBU karang berwarna biru terdapat banyak di kawasan kedalaman dua meter sekitar pulau itu. - Foto Kandau Sidi

PULAU terumbu karang ini adalah aset penting kepada sektor pelancongan Malaysia. - Foto Kandau Sidi

"Kemusnahan batu karang itu harus dielakkan supaya kewujudan pulau berkenaan dapat menjadi tarikan baru bagi Sarawak, khususnya untuk aktiviti skuba dan memancing," katanya.

 

Martin mengakui, ketika pertama kali meneroka dasar laut di kawasan terumbu karang berkenaan kira-kira 10 tahun lalu, pemandangan hidupan akuatik di situ amat menarik dan cantik.

 

"Sekarang, keadaan nampak berbeza kerana mula ada kesan kemusnahan serius akibat aktiviti mengebom ikan dilakukan di sekitar terumbu karang berkenaan," katanya.

  

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan negeri mengambil ikhtiar untuk menjaga dan mempromosikan keunikan pulau itu supaya menjadi destinasi pelancongan baru bagi Sarawak.

Berita Harian X