Selasa, 14 Jun 2016 | 10:23pm

Penggunaan IoT dijangka catat pertumbuhan ketara menjelang 2021


TODD Ashton. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan ketara penggunaan peranti internet kebendaan (IoT) menjelang 2021 selaras dengan penerimaannya di negara maju lain seluruh dunia.

Berdasarkan Laporan Mudah Alih Ericsson terbaru, IoT dijangka mula mengatasi segmen telefon pintar sebagai kategori peranti sambungan internet terbesar menjelang 2018.

Bahkan laporan itu turut menyatakan kadar pertumbuhan penggunaan peranti IoT akan terus melonjak mencecah 16 bilion peranti menjelang 2021 berbanding 28 bilion peranti akses internet keseluruhan dunia ketika itu.

Ketua Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton, berkata dunia menyaksikan pertumbuhan ketara IoT susulan kos peranti yang semakin berdaya saing dan pengenalan penyatupaduan penggunaan antara peranti.

Katanya, pertumbuhan ketara turut disaksikan di Malaysia apabila sebahagian besar industri mula menggunakan teknologi digital untuk menginovasikan perniagaan lebih-lebih lagi dengan pengukuhan rangkaian 4G.

"Menjelang 2019, LTE 4G akan menjadi akses teknologi mudah alih yang utama di Malaysia dan seluruh dunia, bahkan Malaysia juga menyaksikan jumlah pengguna telefon pintar yang tinggi, mengatasi penggunaan telefon biasa pada tahun lalu.

"Kami menjangkakan pelanggan telefon pintar di Malaysia akan melonjak dua kali ganda kepada 40 juta menjelang 2021, berbanding hanya 25 juta tahun lalu," katanya pada sidang media pengumuman secara langsung laporan itu di sini, hari ini.

Laporan Mudah Alih Ericsson turut menyatakan golongan pertengahan di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, dan Vietnam akan memacu permintaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi khususnya bagi kawasan kediaman.

Langganan jalur lebar tetap, bagi pelanggan kediaman dan perniagaan kini sudah pun mencapai penembusan 30 peratus dan dijangka akan meningkat sekitar 10 peratus setahun menjelang 2021.

Bahkan Malaysia juga akan menyaksikan lonjakan langganan LTE kepada 61 peratus menjelang 2021 berbanding 21 peratus ketika ini.

Info:

Jumlah Peranti Sambungan Internet Menjelang 2021 : 28 bilion

1.5 bilion - IoT berasaskan selular

14.2 bilion - IoT berasaskan bukan selular

1.8 bilion - PC/laptop/tablet

8.6 bilion - Telefon Mudah Alih

1.4 bilion - Telefon Talian Tetap

Berita Harian X