Selasa, 14 Jun 2016 | 7:19am

Dua terselamat lori kontena, kereta terbakar

PASUKAN bomba memadamkan kebakaran lori kontena dan kereta di Kilometer 264, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Seremban, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

SEREMBAN: Dua terselamat selepas sebuah lori kontena merempuh sebuah kereta sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar di Kilometer 264, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, pemandu lori kontena yang berusia 50-an dan pemandu kereta berusia 28 tahun, sempat keluar menyelamatkan diri.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Suhaimi Baharom, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lori terbabit gagal dikawal lalu merempuh belakang kereta yang dipandu perlahan.

Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota dihantar ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.46 malam.

"Sebaik tiba, kami mendapati kereta dan bahagian kepala lori itu terbakar dan mengambil masa 15 minit untuk memadamkan api," katanya di sini, pagi ini.

Mohd Suhaimi berkata, kedua-dua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X