Isnin, 13 Jun 2016 | 2:56pm
VIRAL yang mengatakan arwah meninggal dunia ketika mengazankan solat Isyak.

Meninggal dunia ketika tunggu azan di masjid


MAS HASHIM..meninggal dunia dalam masjid ketika menunggu solat Isyak malam tadi.

MANJUNG: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di dalam Masjid Al-Falah, Batu 16, Ayer Tawar, Manjung ketika menunggu azan solat Isyak tamat, malam tadi.

Pesara guru, Mas Hashim Mas Mohamed, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 malam selepas rebah ketika duduk menunggu waktu menunaikan solat Isyak.

Adiknya, Mas Jamalullail, 53, berkata, abangnya tinggal seorang diri selepas kematian isterinya 10 tahun lalu dan baru tiga hari pulang ke kampung dari rumah anaknya di Kuala Lumpur.

Katanya, sejak kematian isteri, arwah abangnya akan menetap di rumah anak-anaknya secara bergilir-gilir dan Ramadan ini, arwah memberitahu anaknya yang dia teringin berpuasa serta solat Tarawih di kampung.

"Bagaimanapun, berita viral mengenai kematian abang yang dikatakan meninggal dunia ketika melaungkan azan Isyak adalah tidak benar.

"Kami terkilan dengan berita yang menjadi viral memandangkan ia tidak benar. Abang hanya makmum dan tidak melaungkan azan," katanya ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Batu 16, di sini, hari ini.

Gambar arwah yang terbaring dalam masjid sambil diberi rawatan pasukan perubatan mula menjadi viral malam tadi dengan ada yang mengatakan mangsa meninggal dunia ketika melaungkan azan solat Isyak di Masjid Al-Falah.

Mas Jamalullail berkata, jenazah abangnya selamat dikebumikan jam 9.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Ayer Tawar.

Berita Harian X