Ahad, 12 Jun 2016 | 12:33pm

Undang-undang jenayah seksual ditambah baik

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (dua dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Parlimen Pulai dan bantuan Ramadan kepada 400 penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (dua dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Parlimen Pulai dan bantuan Ramadan kepada 400 penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kerajaan bercadang menambah baik undang-undang berkenaan jenayah seksual termasuk bagi membolehkan pendakwaan dilakukan tanpa kehadiran mangsa di mahkamah.

Susulan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi di bawah kementerian itu pada minggu depan.

Katanya, peruntukan undang-undang ke atas jenayah seksual ketika ini ada yang di bawah Kanun Keseksaan, namun penambahbaikan perlu dilakukan.

"Dalam Kanun Keseksaan sudah ada sebahagian undang-undang (termasuk) mengenai pedofilia dan sebagainya.

"Ini kerana sistem kita berdasarkan sistem pendakwaan, maka penjenayah perlu hadir ke mahkamah dan mangsa juga perlu ada di mahkamah untuk memberi keterangan terhadap tertuduh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Ramadan kepada 400 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Johor Bahru di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata, disebabkan faktor agama dan budaya, mangsa malu untuk ke mahkamah bagi memberi keterangan.

"Sebab itu, pedofilia dari Britain, Richard Huckle boleh beroperasi bertahun-tahun tanpa ada pihak melaporkan kepada polis kesalahan dilakukannya kerana budaya kita lebih meletakkan stigma malu kepada mangsa dan bukannya pesalah," katanya.

Sebelum ini, Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan jenayah seks ke atas 23 kanak-kanak Malaysia dan Kemboja.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X