Sabtu, 11 Jun 2016 | 4:50pm

Adira belajar masak untuk suami

PENYANYI, Adira. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENYANYI, Adira. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira menyifatkan Ramadan ini lebih bermakna apabila buat pertama kali berpeluang meraikannya sebagai isteri dan keterujaan itu semakin dirasai setiap kali dirinya ke dapur menyediakan pelbagai juadah untuk bersahur dan berbuka.

Mengakui masih kekok dalam selok-belok hal di dapur, penyanyi kelahiran Sabah yang memiliki nama lengkap, Siti Adira Suhaimi, 25, itu sentiasa berusaha memastikan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu dapat menikmati air tangannya.

"Saya tidak malu mengaku, saya belum mahir memasak tetapi itu bukan alasan untuk tidak masuk ke dapur. Alhamdulillah, biarpun masih belajar tetapi saya sudah mahir menyediakan beberapa hidangan kegemaran yang ringkas seperti ketam masak lemak cili api.

"Mujur suami juga menyukai makanan pedas, jadi saya tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan selera kami berdua. Meskipun selesa menyediakan sendiri juadah, tetapi tidak selalu saya ke dapur. Sesekali, suami akan membawa saya ke bazar Ramadan membeli juadah atau berbuka di luar.

"Ramadan kali ini lebih bermakna kerana dapat meraikannya bersama suami dan keluarga, malah saya juga sudah tidak sabar menanti ketibaan 1 Syawal. Saya dapat merasai kemeriahan pada hari raya nanti apabila suami menyertai ahli keluarga saya berkumpul," katanya.

Tidak seperti tahun terdahulu apabila jadual hariannya tetap sibuk namun Ramadan ini, Adira mengambil kesempatan untuk berehat dan menumpukan perhatian kepada ibadah selain menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Saya masih menerima tawaran persembahan pada bulan puasa, tetapi tidak sekerap dulu. Setiap kali tiba Ramadan, saya memilih untuk memperlahankan aktiviti nyanyian kerana ingin menolong emak membuat kuih raya.

"Kebiasaannya, pada bulan puasa saya kerap pulang ke kampung di Ranau untuk berbuka dan bersahur bersama keluarga," katanya.

Bakal bercuti dua minggu untuk meraikan Aidilfitri di kampung halamannya, Adira berkata, suaminya hanya akan menyertai keluarganya selepas seminggu Syawal kerana akan terlebih dulu menyambut hari raya bersama isteri pertama.

Adira memaklumkan, jadualnya akan kembali padat selepas Aidilfitri kerana akan menyertai siri jelajah bersama produk minuman kopi Chek Hup di seluruh negara selepas dilantik menjadi duta jenama itu.

Berita Harian X