Sabtu, 11 Jun 2016 | 1:19pm

Kim Jong-Un terus merokok

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-Un. - Foto Reuters

SEOUL: Kempen antimerokok Korea Utara gagal memujuk pemimpin Kim Jong-Un untuk berhenti, walaupun mendiang bapanya pernah mengingatkan "rokok adalah seperti pistol yang menyasarkan jantung kamu."

Sepanjang kempen awam untuk menurunkan kadar merokok di negara itu, Kim dilihat tanpa rokok selama 80 hari, sekali gus mencetus spekulasi beliau mungkin berjaya menyingkirkan tabiat itu.

Tetapi gambar yang disiarkan akhbar ternama, Rodong Sinmun, minggu lalu menunjukkan Kim tersenyum dan memegang rokok yang dinyalakan ketika melawat kem kanak-kanak di Pyongyang, gambaran jelas usaha itu gagal.

Beliau dilihat merokok ketika membuat pemeriksaan loji peluru berpandu balistik, ketika melawat kawasan pembinaan, meninjau sebuah hospital dan ketika menghadiri beberapa acara sukan dan persembahan kesenian.

Beliau turut merokok di dalam kereta api bawah tanah dan juga di depan isterinya yang sedang hamil.

Bapanya, Kim Jong-Il dan datuknya, Kim Il-Sung juga perokok tegar. Kedua-duanya meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Rokok adalah seperti pistol yang menyasarkan jantung kamu," kata Kim Jong-Il pada awal tahun 2000, selepas beliau berjaya berhenti daripada tabiat itu.

Bagaimanapun, beliau kembali merokok pada 2008 dan meninggal dunia tiga tahun kemudian. - AFP

Berita Harian X