Khamis, 9 Jun 2016 | 12:02pm

PDRM hantar pegawai temui Huckle di UK


RICHARD Huckle. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang akan mengambil keterangan pesalah pedofilia warga Britain, Richard Huckle, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau akan menghantar pegawainya untuk menemui Huckle di penjara bagi mendapatkan maklumat mengenai butiran mangsa kanak-kanak di Malaysia.

"Kita akan buat permohonan untuk menemui Huckle secepat mungkin. Cadangan ini dilakukan bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa penderaan seksual," katanya.

Dalam satu keputusan perbicaraan di London, pada 6 Jun lalu, Huckle, yang menjadikan kanak-kanak Malaysia sebagai mangsa, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 25 tahun.

Hakim Peter Rook mengarahkan 22 hukuman penjara seumur hidup itu dijalankan serentak selepas Huckle mengaku bersalah atas 71 tuduhan kesalahan seks kanak-kanak.

Berita Harian X