Selasa, 7 Jun 2016 | 1:08pm

Polis kerjasama NCA, KPWKM kesan mangsa pedofilia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus berusaha mengesan kanak-kanak yang menjadi mangsa penjenayah pedofilia warga Britain, Richard Huckle.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata usaha itu turut membabitkan kerjasama Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), bertujuan memberi khidmat sokongan psikologi serta bantuan lain yang diperlukan keluarga mangsa.

"PDRM berpendapat, hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 25 tahun yang dikenakan ke atas Huckle setimpal dengan jenayah dilakukannya.

"Ini kerana, Huckle, menurut hakim yang menjatuhkan hukuman itu sudah memusnahkan masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsanya," katanya.

Beliau pada masa sama memohon kerjasama dan sokongan semua pihak dalam memberi kepercayaan kepada polis melaksanakan apa juga tindakan terbaik demi kepentingan kanak-kanak terbabit.

Semalam, Huckle, 30, diperintah menjalani hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London selepas mengaku bersalah atas 71 pertuduhan melakukan pencabulan seksual ke atas kanak-kanak.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014 selepas polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kamera yang dibawanya.

Menurut laporan media di Britain baru-baru ini, Huckle yang juga jurugambar bebas mungkin melakukan pencabulan seksual kepada 200 kanak-kanak berumur enam bulan dan 12 bulan, dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan ke atasnya dan mangsa kebanyakannya datang dari keluarga miskin di Kuala Lumpur.

Berita Harian X