Rabu, 20 Ogos 2014 | 4:59pm
iPhone 5C adalah antara percubaan Apple menyaingi telefon pintar murah keluaran China. - Foto Blooomberg

Saham Apple cecah paras tertinggi menjelang iPhone 6

SAN FRANCISCO: Saham Apple Inc ditutup malam tadi pada paras tertinggi baharu, lebih daripada rekod 2012 kerana pelabur teruja dengan dua produk yang bakal dilancarkan, iPhone 6 dan jam pintar.

Saham Apple naik 1.4 peratus kepada AS$100.53 (RM317.2), lebih tinggi daripada yang dicapai pada 19 September 2012, AS$100.30 (RM316.5) sebelum pelancaran iPhone 5. Saham Apple sudah naik 25 peratus tahun ini.

Kenaikan saham itu menjadikan Apple syarikat paling bernilai di dunia, hampir 30 peratus lebih besar daripada Exxon Mobil Corp, syarikat kedua terbesar dunia daripada permodalan pasaran.

Paras tertinggi baharu itu dicatat dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas syarikat mengumumkan program pecahan saham, kali keempat dalam sejarah Apple. Menerusi program itu, pemegang saham mendapat tujuh saham baru bagi setiap satu saham Apple sedia ada.

Pecahan saham tidak memberi kesan kepada nilai asas Apple, tetapi memberi suntikan psikologi kepada pelabur kerana kos seunit kini lebih rendah.

Saham Apple sudah naik tujuh kali ganda sejak 2007 apabila memperkenalkan telefon pintar sulungnya, tetapi sejak pelancaran iPhone 5S saham Apple menyederhana kerana pelabur bimbang syarikat itu sudah kekeringan idea mengeluarkan produk popular tanpa pengasas bersama, mendiang Steve Jobs.

Keadaan itu bagaimanapun berubah kini apabila penganalisis mengunjurkan rekod jualan tertinggi baharu bagi model iPhone 6 yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Pelabur aktivis Carl Icahn yang mendesak Apple membeli balik lebih banyak sahamnya awal tahun ini, berkata kenaikan saham syarikat mengesahkan dakwaannya sebelum ini bahawa pengeluar iPhone itu dibawah nilai.

Icahn menguasai 52.8 peratus saham Apple yang dianggarkan bernilai AS$5.3 bilion (RM16.7 bilion).

Jun lalu, sumber menyebut Apple akan memulakan pengeluaran besar-besaran dua telefon pintar berskrin besar bagi menguatkan cabaran kepada peranti keluaran Samsung Electronics Co dan HTC Corp. Apple sebelum ini dikhabarkan akan melancarkan iPhone 6 pada 9 September ini.

Kenaikan harga saham Apple menunjukkan pelabur setuju dengan strategi Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook untuk mengeluarkan telefon lebih besar, memberi pulangan modal kepada pemegang saham dan memperkenalkan beberapa peranti baharu.

Pemegang saham dapat apa yang mereka mahu. Selain iPhone berskirn besar, Cook juga menyasarkan Apple akan mengeluarkan produk dalam kategoeri baharu tahun ini.

Apple dikatakan sedang membangunkan jam pintar dan penganalisis di Morgan Stanley, Katy Huberty berkata syarikat itu dijangka menjual 60 juta unit peranti jam pintar dalam tahun pertama keluaran sekali gus menyumbang AS$9 bilion (RM28.4 bilion) kepada pendapatan syarikat bagi tahun 2015.

Dalam pada itu, Cook lebih agresif berbanding Jobs dalam aspek memulangkan timbunan wang syarikat kepada pemegang saham. Apple kini dalam proses memulangkan sejumlah AS$130 bilion (RM410.2 bilion) menerusi belian balik saham dan dividen. - Bloomberg

Berita Harian X