Ahad, 5 Jun 2016 | 4:36pm

Ejen hartanah dipenjara 16 tahun, 30 sebatan

TERTUDUH, Mohd Asid Abd Jalil, (tengah), diiringi polis ke mahkamah bagi menghadapi 41 pertuduhan menipu membabitkan pelaburan hartanah Mahkamah Majistret Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
TERTUDUH, Mohd Asid Abd Jalil, (tengah), diiringi polis ke mahkamah bagi menghadapi 41 pertuduhan menipu membabitkan pelaburan hartanah Mahkamah Majistret Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Seorang ejen hartanah dihukum penjara 16 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 30 pertuduhan menipu membabitkan pembelian serta pelaburan rumah lelong dengan kerugian lebih RM380,000, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asid Abd Jalil, 35, mengaku bersalah bagi semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, bapa kepada empat orang anak hasil perkahwinan dua isteri itu, didakwa dengan curang memperdaya 30 individu supaya menyerahkan keseluruhan RM382,117 termasuk melalui akaun bank serta dua keping syiling dan dua rantai emas.

Keseluruhan wang dan barang kemas itu adalah sebagai pembelian serta pelaburan rumah lelong yang ditawarkan tertuduh, yang mana semua mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tahu diperdaya oleh tertuduh.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Johor Bahru antara Mei 2013 hingga 2 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X