Sabtu, 4 Jun 2016 | 9:32am

Perkhidmatan KLIA Ekspres, KLIA Transit pulih 3 petang

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang terganggu berikutan ribut semalam, dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada jam 3 petang nanti.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan di Facebook, berkata operasi kedua-dua perkhidmatan kereta api laju itu terpaksa digabungkan ketika ini berikutan kerja baik pulih yang sedang dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, tempoh perjalanan antara stesen KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mengambil masa lebih tujuh hingga lapan minit berbanding tempoh perjalanan biasa.

"Berikutan kerosakan yang berlaku pada trek, kereta api dan talian elektrik selepas ribut yang berlaku semalam, kami sedang melakukan kerja baik pulih pada hari ini bermula jam 4.33 pagi tadi sehingga 3 petang.

"Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan digabungkan sepanjang tempoh baik pulih itu. Ketibaan dan pelepasan di stesen KL Sentral akan menggunakan platform KLIA Ekspres," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan ERL tergendala semalam berikutan ribut di ibu negara menyebabkan beberapa pokok tumbang di laluan antara stesen Bandar Tasik Selatan dan stesen Putrajaya, dan mengganggu talian elektrik pada trek berkenaan.

Berita Harian X