Jumaat, 3 Jun 2016 | 6:33pm
BAYI lelaki yang mempunyai kesan lebam di muka. - Foto ihsan pembaca

Pemilik taska nafi dera bayi

PUTRAJAYA: Seorang pemilik taska di Presint 15 di sini, menafikan mendera bayi di bawah jagaannya dan mengesyaki tindakan itu dilakukan dua pekerjanya yang kemudian bertindak memviralkan kejadian itu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata pemilik taska berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu 31 Mei lalu.

"Pada 1 Jun lalu pula, seorang daripada bekas pekerja taska berkenaan turut membuat laporan polis menafikan mendera bayi berkenaan dan mendakwa kejadian itu dilakukan pemilik taska terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosly berkata pada 25 Mei lalu, ibu bayi lelaki yang mempunyai kesan lebam di muka menerima gambar menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerja taska memaklumkan anaknya didera oleh pemilik taska.

"Bagaimanapun, sebelum itu iaitu pada jam 4.10 petang hari sama, pemilik taska sudah menghantar gambar sama kepada ibu bayi berkenaan tetapi memaklumkan ia adalah kesan tepis oleh kanak-kanak lain di muka bayi berkenaan," katanya.

Baru-baru ini gambar dua bayi, seorang diikat pada mulut dengan kain lampin dan seorang lagi seperti ada kesan lebam di muka dan belakang badannya tersebar di media sosial dipercayai didera di pusat asuhan.

Difahamkan, gambar bayi yang cedera di muka adalah perkara yang sudah lama selesai kerana kedua ibu bapa bayi berkenaan mengetahui cerita sebenar kejadian itu.

Sementara itu, polis menahan tiga individu iaitu pemilik dan dua pekerja taska berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Rosly ketika dihubungi semalam, berkata pemilik taska berusia 27 tahun ditahan pada jam 2 petang semalam di Putrajaya.

"Dua lagi pekerja taska itu pula masing-masing berusia 21 dan 19 tahun ditahan di Kajang dan Shah Alam pada jam 4 petang serta 8 malam, semalam.

"Selain itu, pihak polis turut merampas telefon bimbit jenama ASUS Z007 dan OPPO bersama bateri, kad sim dan kad memori.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi, semalam.

Rosly berkata, ketiga-tiga tangkapan masih disoal siasat dan mereka ditahan di lokap Jinjang, Kuala Lumpur sementara mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

Berita Harian X