X
Jumaat, 3 Jun 2016 | 2:53pm

Setuju ambil lebih ramai amah Kemboja - Najib

NAJIB beramah mesra bersama Hun Sen selepas sidang media bersama sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
NAJIB beramah mesra bersama Hun Sen selepas sidang media bersama sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia bersetuju untuk membenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja di negara ini terutama sebagai pembantu rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tetamu negara, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen telah menyatakan minat untuk menghantar lebih ramai pekerja Kemboja ke Malaysia semasa mereka mengadakan perbincangan dua hala di sini hari ini.

"Kemboja telah menyatakan minat kepada Malaysia supaya dibenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja di negara ini.

"Kita telah menerima tawaran itu terutama bagi bidang pembantu rumah," katanya dalam sidang media bersama dengan Hun Sen di Perdana Putra selepas pertemuan itu.

Hun Sen, yang tiba di Malaysia pada Rabu, sedang dalam rangka lawatan rasmi empat hari di Malaysia dan akan turut menghadiri Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN.

Pada Disember tahun lalu, Malaysia dan Kemboja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyambung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia bagi pengambilan pertengahan 2016.

Najib berkata Malaysia dan Kemboja juga bersetuju untuk menyegerakan perjanjian mengenai usaha membanteras perdagangan manusia dan cukai berganda.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena mesyuarat Malaysia-Kemboja itu, Kementerian Hal ehwal Wanita Kemboja dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah ditugaskan untuk menyegerakan perundingan bagi pemeteraian perjanjian berhubung perdagangan manusia.

Menyentuh mengenai perdagangan, Najib berkata Kemboja juga berminat untuk meningkatkan tahap dagangan yang tidak berubah dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

"Kita mahu meningkatkan skop dagangan dan telah bersetuju untuk membantu suruhanjaya bersama di kedua-dua negara. Suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan bidang kepentingan bersama," katanya.

Sambil memuji layanan kerajaan Kemboja terhadap pelabur Malaysia, Najib berkata jumlah keseluruhan pelaburan syarikat Malaysia dalam pasaran Kemboja, ialah sebanyak AS$4.3 bilion.

Katanya ini adalah penunjuk bahawa pelaburan syarikat Malaysia di Kemboja kemungkinan besar akan meningkat. - BERNAMA

Berita Harian X