Jumaat, 3 Jun 2016 | 1:06pm

Hubungan bilateral Malaysia-Kemboja dipertingkat - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersamaPerdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersamaPerdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kemboja bersetuju dengan keperluan untuk memuktamadkan perjanjian cukai berganda dan isu pemerdagangan manusia secepat yang mungkin, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perkara terbabit antara beberapa keputusan yang dicapai dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut bersetuju dengan tawaran Kemboja bagi menghantar pekerja negara itu dalam beberapa sektor penting terutama pembantu rumah.

"Kedua-dua negara yakin kerjasama bilateral akan dipertingkatkan menerusi hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi. Justeru, untuk mengukuhkan perdagangan dua hala perjumpaan antara kedua-dua negara perlu diadakan pada masa akan datang.

"Malaysia juga akan memastikan sektor perniagaan negara ini yang dijalin di Kemboja menerusi syarikat-syarikat korporat akan diteruskan bahkan setakat ini jumlah pelaburan syarikat Malaysia di sana berjumlah RM17.8 bilion (AS$4.3 bilion)," katanya pada sidang media bersama di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga bersetuju untuk membantu membangunkan industri halal di Kemboja menerusi pengeluaran makanan dan pensijilan halal.

"Malaysia juga bersedia menawarkan lebih banyak tempat kepada pelajar Kemboja melanjutkan pelajaran di universiti di negara ini," katanya.

Najib berkata, beliau bersama rakan sejawatannya juga bersetuju untuk meneruskan hubungan parti dengan parti dan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara

"Kemboja adalah salah satu destinasi popular yang dilawati rakyat yang mana 150,000 pelancong Malaysia melawat negara itu setiap tahun.

"Kita juga akan meneruskan program sukarelawan MyCorp yang mana seramai 40 golongan muda menyertainya tahun lalu dan tahun ini kita jangkakan 100 peserta akan menyertai," katanya.

Berita Harian X