Jumaat, 3 Jun 2016 | 8:49am

Van Garderen tarik diri dari Olimpik Rio

Atlet berbasikal, Tejay Van Garderen. - Foto Reuters
Atlet berbasikal, Tejay Van Garderen. - Foto Reuters

AMERIKA SYARIKAT: Atlet berbasikal, Tejay Van Garderen menarik diri daripada pemilihan bagi pasukan Amerika Syarikat (AS) ke Olimpik Rio berikutan kebimbangan penularan virus Zika.

Keputusannya itu kerana Zika boleh memberi risiko terhadap isterinya yang sedang mengandung, kata Persatuan Berbasikal AS, semalam.

Pegawai kesihatan AS merumuskan bahawa jangkitan Zika, virus yang dibawa nyamuk, memberi kesan terhadap wanita mengandung kerana boleh menyebabkan kepala bayi menjadi kecil seterusnya masalah teruk dalam pembesaran.

"Walaupun risiko berkaitan Virus Zika boleh menjadi minimum dan langkah pencegahan boleh diambil, isteri saya Jessica sedang mengandung, dan saya tidak mahu mengambil risiko membawa pulang sesuatu yang boleh memberi kesan," kata Van Garderen dalam kenyataannya.

"Jika keadaannya berbeza, saya pastinya gembira untuk dipilih sekali lagi mewakili AS, tetapi keluarga saya adalah keutamaan dan ia adalah keputusan yang saya lebih selesa.

"Saya berharap akan mampu bersaing dalam Olimpik 2020," katanya

Van Garderen menamatkan acara perlumbaan lebuh raya pada Olimpik 2012 di tangga ke-104 selepas melakukan tugas buat rakan sepasukan, Taylor Phinney. - REUTERS

Berita Harian X