Khamis, 2 Jun 2016 | 11:55pm

Ibu bapa Huckle 'rayu polis tahan anak mereka'

RICHARD Huckle.

LONDON: Ibu bapa kepada pedofilia terburuk di Britain terlalu kecewa selepas mendapat tahu mengenai penderaan 'mengerikan' anak mereka ke atas kanak-kanak di Malaysia sehingga mereka merayu polis membawanya pergi, mahkamah mendengar keterangan hari ini.

Bertindak atas maklumat, Richard Huckle, 30, ditahan Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) apabila dia mendarat di lapangan terbang Gatwick dalam perjalanan menyambut Krismas bersama keluarganya di Ashford, Kent pada 2014.

Pendakwa raya Brian O'Neill berkata, peralatan komputer Huckle dirampas dan dia dijamin dengan syarat pulang ke rumah ibu bapanya. Pihak berkuasa turut menggeledah rumah ibu bapa tertuduh.

Huckle enggan menjawab soalan penyiasat, namun hari berikutnya, ibunya bertanyakan mengenai tuduhan itu dan dia mengakui melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berusia antara tiga dan 13 tahun.

O'Neill berkata: "Ibunya amat kecewa dan marah. Beliau dan bapanya menelefon polis dan meminta anak lelaki mereka ditahan. Kedua-duanya membuat kenyataan sebagai saksi menyokong pendakwaannya."

Huckle enggan memberi pegawai kata laluan kepada komputernya, namun mereka masih berupaya menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak.

Selain draf manual pedofilia Huckle, mereka menemui buku lejer "Pedopoints" di mana dia memberi markah kepada dirinya atas tindakan buruk ke atas kanak-kanak. Sejumlah 191 kanak-kanak disebut dalam kad mata Huckle.

Bagaimanapun, pegawai gagal memecahkan kata laluan kepada lebih banyak fail sulit dalam komputer riba Huckle, dipercayai menyembunyikan "sejumlah besar" imej lucah.

Mahkamah mendengar, sesetengah fail sulit mengandungi nama sejumlah besar mangsa potensi tidak diketahui.

Huckle mengaku bersalah atas 71 kesalahan seksual ke atas kanak-kanak, termasuk pelbagai insiden rogol ke atas 23 kanak-kanak dikenal pasti berusia antara enam bulan dan 12 tahun. Sebanyak 22 pertuduhan membawa hukuman penjara seumur hidup.

Tambahan 20 tuduhan akan berada dalam fail mahkamah apabila dia dijatuhi hukuman oleh Hakim Peter Rook esok. -AGENSI

Berita Harian X