Khamis, 2 Jun 2016 | 5:59pm
SKUAD gimnastik negara bergambar bersama pingat emas yang dimenangi dalam pusingan akhir Gimnastik Artistik berpasukan Wanita Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

MGF yakin sukan gimnas akan lebih cemerlang

KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) melahirkan keyakinan masa depan sukan gimnastik di negara ini akan lebih cemerlang dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah berkata menerusi pelbagai inisiatif oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta peningkatan kelab gimnastik di Malaysia, persatuan itu mampu melahirkan lebih ramai gimnas untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Di Lembah Klang sahaja, kita mempunyai 20 kelab manakala lima lagi di negeri-negeri lain. Melalui usaha dilakukan KPM, kita boleh melihat lebih ramai gimnas akan mewakili negara di kejohanan antarabangsa tidak lama lagi," katanya.

Shanmugarajah, 66, berkata pada masa ini, setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya sebuah gimnasium dilengkapi peralatan berkualiti di bawah inisiatif KPM bagi memenuhi keperluan pelajar sekolah yang berminat dalam sukan tersebut.

"Kementerian menyediakan kemudahan dan mengenal pasti jurulatih, manakala kita (MGF) melatih barisan jurulatih ini. Salah satunya ialah Program Tatacara Penggunaan Dewan Gimnastik Artistik yang dimulakan awal tahun lepas," katanya.

Bekas gimnas, jurulatih dan juri, yang diberikan penghormatan pingat perak Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) itu selepas mencurahkan tenaga selama 36 tahun untuk pembangunan gimnastik di Malaysia dan rantau ini, kini bertekad menjadikan usaha itu satu kenyataan selepas kementerian mengeluarkan peruntukan yang besar bagi sukan berkenaan.

Beliau adalah rakyat Malaysia kedua menerima pengiktirafan antarabangsa itu selepas memegang jawatan tersebut dalam MGF sejak 1980 serta sebagai Setiausaha Agung Konfederasi Gimnastik Asia Tenggara dari 1985 hingga 2013.

Penerima pertama anugerah berkenaan adalah bekas Presiden MGF Datuk Dr Zakaria Ahmad.

"Saya berasa sangat bertuah menerima pengiktirafan itu disebabkan tidak ramai yang mendapat anugerah tersebut. Apa membuatkan saya menabur bakti begitu lama dalam sukan berkenaan di negara ini adalah kerana kesungguhan jurulatih dan pegawai selain kurangnya politik dalaman di MGF," katanya.

Shanmugarajah adalah individu yang memperkenalkan gimnastik berirama di negara ini, apabila sukan berkenaan masih belum diiktiraf di Malaysia, sebelum ini.

"Pada 1980-an, saya membawa pakar dan barisan jurulatih dari luar bagi melatih gimnas kita. Salah seorang ialah Emmy Bellwood, pengasas gimnastik berirama di New Zealand, untuk mengendalikan kursus kejurulatihan gimnastik berirama," katanya yang mengetuai kempen agar gimnastik disenaraikan pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Komanwel pada edisi 1998 dalam acara gimnastik, sekali gus memberi motivasi kepada gimnas negara memenangi 20 pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, tiga tahun kemudian.

Antara kejayaan gimnas negara adalah pada Piala Cabaran Dunia di Ljubljana, Slovenia, 10 April lalu, apabila Tan Ing Yueh dan Tracie Ang meraih dua pingat emas, selepas Farah Ann Abdul Hadi muncul gimnas pertama Malaysia memenangi pingat di kejohanan tersebut dengan meraih pingat perak, sehari sebelum itu.

Sementara itu, pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Malaysia memenangi tiga pingat emas dalam gimnastik artistik menerusi Farah Ann dalam acara senaman lantai wanita, Tang dalam acara palang bertingkat wanita serta pasukan wanita.

Acara gimnastik berirama juga cemerlang apabila Koi Sie Yan dan N Shasangari Sivaneswary, masing-masing membawa pulang satu pingat emas selepas kedua-dua gimnas itu berkongsi mengutip 60.250 mata dalam acara keseluruhan individu. - BERNAMA

Berita Harian X