Khamis, 2 Jun 2016 | 11:39am

Pedofil warga Britain cabul 200 kanak-kanak Malaysia


RICHARD Huckle. - Foto AFP

LONDON: Jurugambar sambilan yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran serangan seksual ketika bekerja di Malaysia, berhadapan 22 hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku di atas 71 kesalahan mendera golongan itu.

Richard Huckle, 30, dari Ashford di Kent mengaku melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 12 tahun sejak 2006 hingga 2014.

Huckle mendekati kanak-kanak di Kuala Lumpur dengan menyamar sebagai guru bahasa Inggeris yang membuat kebajikan.

Dalam pengakuan bersalahnya, 23 kanak-kanak daripada keluarga Kristian miskin dikenal pasti walaupun Huckle dipercayai mendera sehingga 200 kanak-kanak.

Beliau melawat Malaysia buat kali pertama ketika berusia 18 atau 19 tahun dan mendekati kanak-kanak ketika melakukan kerja sukarela.

Huckle ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Gatwick oleh pegawai Agensi Jenayah Kebangsaan pada 19 Disember 2014 apabila pulang untuk menyambut Krismas.

Pegawai menemui banyak gambar dan video tidak senonoh memaparkan beliau mendera kanak-kanak lelaki dan wanita. Lebih 20,000 imej tidak senonoh ditemui dalam komputernya. - AGENSI

Berita Harian X