Khamis, 2 Jun 2016 | 1:11am

Lembaga pengarah kelab Al-Ain dipecat angkara iklan BMW

SHEIKH Hazza bin Zayed Al Nahyan.

ABU DHABI: Pihak berkuasa Abu Dhabi, semalam melucutkan jawatan ahli lembaga pengarah kelab bola sepak Al-Ain selepas sebahagian pemain pasukan itu terbabit dalam iklan komersial BMW yang disifatkan tidak menghormati lagu kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pembuat kereta Jerman itu menyiarkan iklan yang memaparkan pemain-pemain kelab itu menyanyikan lagu kebangsaan Emirati sebelum perlawanan namun kemudiannya secara tiba-tiba berhenti bernyanyi kerana mendengar deruman enjin dan bergegas ke kawasan letak kenderaan stadium untuk melihat kereta BMW terbabit.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Hazza bin Zayed Al-Nahyan yang juga Timbalan Pengerusi Kelab kebudayaan dan Sukan Al-Ain melucutkan jawatan ahli lembaga pengarah kelab dan syarikat pelaburan yang menguruskan aset kelab itu, lapor agensi berita, WAM.

Beliau kemudian menubuhkan jawatankuasa sementara untuk menguruskan kelab itu.

Iklan itu mencetus kontroversi di media sosial dengan kebanyakan pengguna Twitter menghentam pemain-pemain serta mendesak iklan itu untuk ditarik balik.

Pengulas sukan di Dubai TV, Fares Awad menulis dalam laman Twitter miliknya yang iklan itu "menghina negara dan rakyatnya dengan tidak menghormati lagu kebangsaan."

Akhbar Gulf News melaporkan dalam laman web mereka iklan itu yang mensasarkan pasaran UAE sudah pun ditarik semula. - AFP

Berita Harian X